109 Kanak-kanak Setiu Terima Sijil Hafaz Muqaddam

Dr Azman (duduk kiri) menyaksikan kreativiti kanak-kanak Taska YPKT Setiu.
SETIU, 7 November - Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) mengurniakan Sijil Hafaz Muqaddam kepada  109 kanak-kanak Taska Permata Keluarga Setiu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, sebanyak 66 buah taska itu diwujudkan di seluruh negeri Terengganu dan pusat asuhan itu  terbanyak dibina  di seluruh negara termasuk tujuh buah di Parlimen Setiu.

Katanya, Kerajaan Terengganu berbangga dengan wujudnya taska permata bagi tujuan membina generasi umat Islam sejak dari kanak-kanak lagi. 


Dr Azman menyampaikan sijil hafaz muqaddam 2019  kepada seorang kanak-kanak Taska Permata Keluarga YPKT Setiu.
"Kerajaan negeri mengucapkan tahnian kepada YPKT kerana menjadikan Taska Permata sebagai aset pendidikan kanak-kanak untuk membina jati diri generasi umat Islam di Terengganu," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Hafaz Muqaddam 2019 Taska Permata Keluarga YPKT, di Dewan Majlis Daerah  Setiu, Sungai Tarom di sini hari ini.

Seramai 109 kanak-kanak berumur empat tahun menerima sijil hafazan 23 surah lazim dari Dr Azman di majlis tersebut.

Seterusnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi itu berkata, membina manusia tidak semudah membina infrastruktur untuk kemudahan awam termasuk jalan raya, elekterik, air paip dan lain-lain.

Dr Azman merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Hafaz Muqaddam 2019 Taska Permata Keluarga YPKT, di Dewan Majlis Daerah  Setiu, Sungai Tarom  Setiu hari ini.
Katanya, membina manusia  perlu dilaksanakan secara  pakej sejak dari kecil kerana insan mempunyai pelbagai komponen termasuk akal fikiran, perasaan, roh dan jasad.

"Membina dan mendidik kanak-kanak umpama mengukir di atas batu ia akan kekal lama.

"Contohnya patung batu di  Kuil Namruz di Jordan, walaupun beribu-ribu tahun patung sembahan itu  diukir di atas batu yang keras, ia masih kekal sehingga hari ini," jelasnya.

Menurutnya, membina manusia ketika dewasa seperti mengukir di atas air batu, ia akan cair serta merta bila terkena cahaya matahari.

"Umpama melentur buluh hendaklah bermula dari rebung, jika dilentur buluh sudah tua tersilap hari bulan terbidas muka sendiri," ujarnya.


Sumber: teganukita.net