Air Sungai Pasir Raja Diparas Normal


Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 23 November- Paras air di Pasir Raja yang merupakan antara kawasan berisiko menghadapi banjir pada hari ini berada di paras normal.

Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata ianya berbeza berbanding semalam.

"Dimana semalam hujan turun tiada henti dan begitu lebat, Pasir Raja antara lokasi yang sering diberi perhatian apabila berlakunya hujan tiada henti.

"Walau bagaimanapun pihak kita telah bersiap siaga menghadapi banjir pada kali ini, dan pusat pemindahan juga telah bersedia untuk beroperasi jika berlakunya banjir," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pihak media mengulas mengenai keadaan semasa di DUN Bukit Besi, hari ini.

Ghazali berkata, beliau juga telah turut mengadakan tinjauan ke Kampung Shukor.

"Dimana semalam kita menerima maklumat, bahawa paras air sungai meningkat dan mula melimpah.

"Kita telah turun, dan melihat air sungai tersangat deras, walaupun begitu keadaan terkawal," ujarnya.

Katanya, pihak Jabatan Bomba Al-Muktafi Billah Shah dan Penyelamat juga telah turun padang.

"Bersedia membantu mangsa-mangsa banjir untuk dipindahkan dengan menggunakan segala kelengkapan dan anggota yang ada,"ulasnya.

Semua pihak katanya termasuk Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) terlibat banjir memainkan peranan penting.

"Dimana kita akan terus berhubung dari semasa ke semasa, dan mengharapkan agar penduduk memberikan kerjasama yang baik sekiranya terpaksa berpindah.

"Sama-samalah Kita doakan agar hujan tidak berterusan sehingga mengakibatkan banjir mahupun bencana yang tidak diingini," ujar beliau.

Sumber: teganukita.net