Amalan Penghapus Dosa Dan Menaikkan Darjat


Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wasallam bersabda:

ألا أدلكم على ما يمحو الله به الخطايا ويرفع به الدرجات؟ » قالوا : بلى يا رسول الله،‍‍ قال: « إسباغ الوضوء على المكاره وكثرة الخطا إلى المسجد وانتظار الصلاة بعد الصلاة فذلكم الرباط فذلكم الرباط فذلكم الرباط
“Apakah kalian mahu aku tunjukkan amalan yang dapat menghapus dosa dan mengangkat darjat?” Mereka menjawab: “Mahu wahai Rasulullah.” Rasulullah bersabda: “Menyempurnakan wudhu’ pada saat-saat yang tidak disukai, memperbanyak langkah kaki menuju ke masjid, dan menunggu solat setelah solat. Yang demikian itulah ar-Ribath.” (HR. Muslim)

Dari hadith ini dapat diambil beberapa faedah:

1. “Pada saat-saat yang tidak disukai” maksudnya adalah ketika matahari bersinar terik di musim panas, atau malam hari di musim dingin dan menjelang subuh. Kerana pada saat-saat seperti itu, orang lebih cenderung untuk mencukupkan diri pada syarat sah wudhu’ sahaja, sehingga kadangkala banyak sunnah-sunnah wudhu’ ditinggalkan.

2. Berjalan menuju ke masjid lebih utama daripada menaiki kenderaan. Namun jangan sampai dalam menerapkan sunnah menyebabkan sunnah yang lebih utama ditinggalkan. Contohnya, jangan disebabkan ingin berjalan kaki ke masjid, menyebabkan ketinggalan solat berjemaah. Sesiapa yang rumahnya lebih jauh dari masjid, hendaklah lebih awal berangkat agar dapat berjalan kaki menuju masjid dan tidak ketinggalan berjemaah. Atau bagi yang rumahnya sangat jauh dari masjid sehingga mengharuskan dirinya berkenderaan, maka boleh meletakkan kenderaannya jauh sedikit dari masjid, supaya tetap dapat menerapkan sunnah berjalan kaki menuju masjid. Wallahua’lam.

3. Berjalan dengan langkah pendek lebih utama daripada langkah panjang. Ini kerana secara matematik saja, dengan jarak yang sama langkah yang pendek lebih banyak daripada langkah yang panjang. Dengan demikian, kebaikan atau keutamaan yang didapati juga akan lebih banyak.

4. Bersuci di rumah lebih utama daripada di masjid. Ini kerana berjalan ke masjid yang dapat menghapus dosa dan menaikkan darjat adalah dalam keadaan telah berwudhu’. Oleh kerana itu, di dalam hadith, berwudhu’ disebutkan terlebih dahulu daripada amalan yang lain.

5. Menunggu solat setelah solat maksudnya adalah hatinya sentiasa merindukan akan datangnya waktu solat yang berikutnya. Sama halnya dengan orang yang hatinya tergantung di masjid. Maksudnya, bukan orang yang sentiasa berada di masjid dan tidak pernah keluar setapak kaki pun dari masjid.

6. Menyempurnakan wudhu’, berjalan kaki menuju masjid, merindukan datangnya waktu solat merupakan jihad fi sabilillah. Kerana seorang Muslim ketika melakukan hal-hal tersebut berjuang dengan gigih melawan nafsunya. Kerana melawan hawa nafsu bukan perkara yang ringan, maka Rasulullah menyamakannya dengan “ar-Ribath” yang pada asalnya merupakan istilah di dalam medan jihad.

Wallahua’lam.

Oleh: Abu Yazid Nurdin
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Sumber: Oh! Media