Arif Fadzilah tolak tawaran lain demi impian


KUALA TERENGGANU: Bagai sirih pulang ke gagang. Itu peribahasa tepat buat pemain kelahiran Kampung Kubu, Marang, Arif Fadzillah Abu Bakar, 23, yang kembali ke negeri kelahirannya musim depan menyarung jersi skuad Terengganu FC (TFC).

Arif mengakui begitu teruja untuk memperkuatkan pasukan TFC selain tidak menduga khidmatnya diperlukan skuad Penyu bawah kendalian jurulatih muda, Nafuzi Zain.

Anak bongsu daripada 10 beradik yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan bawah 23 tahun itu bagaimanapun menyatakan tidak mudah buatnya untuk membarisi kesebelasan utama skuad TFC.

"Ini rezeki saya, lagipun sudah lama saya mengidam untuk menyarung jersi skuad utama negeri kerana sebelum ini saya pernah bermain dengan pasukan T-Team dan Terengganu FC II (TFC II),” kata Arif.

"Sebelum ini, ada dua pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmat saya termasuk bekas pasukan, FELDA United dan Petaling Jaya City FC (PJ City), namun saya lebih berminat bersama TFC.

"Terima kasih kepada barisan jurulatih yang diketuai Nafuzi kerana menawarkan kontrak, saya tekad mahu membalas kepercayaan yang diberikan dengan persembahan terbaik."

Semalam Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengumumkan bekas pemain FELDA United itu adalah antara muka baharu skuad TFC selain bekas pemain Perak, Nasir Basharuddin.

Sebelum ini, TFC menggugurkan 12 pemain utamanya musim ini termasuk dua pemain import – penyerang sensasinya, Kipre Tchetche dan pemain tengah Kemboja, Thierry Chantha Bin.

Mengulas lanjut, Arif mengidam untuk meraih sekurang-kurangnya satu piala musim depan bersama TFC.

"Sepanjang karier, saya belum pernah merasai nikmat menjulang piala, saya harapkan tuah mengiringi TFC musim depan meraih sekurang-kurangnya satu trofi," kata bekas murid Sekolah Kebangsaan Kubu itu. - Berita Harian