Baru keluar penjara Jun lalu, pengasuh sumbat cili hijau ke dalam mulut budak sehingga mati dipenjara semula 10 tahun

Posted on Thursday, November 14, 2019 | 11/14/2019



Seorang pengasuh, yang baru selesai menjalani hukuman penjara Jun lepas, atas kesalahan menyumbat cili hijau ke dalam mulut seorang kanak-kanak sehingga mati tercekik, dihantar semula ke penjara selepas Mahkamah Rayuan di sini, menambah hukuman penjaranya kepada 10 tahun lagi.

Hakim Datuk Yaacob Md Sam yang mengetuai panel tiga hakim berpendapat bahawa hukuman penjara 18 bulan yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi ke atas responden, Asmarani Ghazali sebelum ini adalah tidak mencukupi.

Dalam membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk meningkatkan hukuman penjara, Hakim Yaacob berkata hakim Mahkamah Tinggi sebelum ini terkhilaf dalam membuat keputusan apabila menimbang kepentingan responden melebihi kepentingan awam.

Panel yang juga terdiri daripada Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof dan P. Ravinthran mengarahkan Asmarani menjalani hukuman penjara itu mulai tarikh dia ditangkap pada 21 Jun 2018.

Asmarani, 40, telah dibebaskan dari penjara pada 21 Jun lalu, selepas dia selesai menjalani hukuman penjara 18 bulan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zain Ibrahim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas Asmarani.

Beliau menyifatkan tindakan wanita itu yang meletakkan cili hijau ke dalam mulut Muhammad Afif Kamarol Azli yang berusia dua tahun setengah, ketika berada di bawah jagaannya, hanya kerana mangsa merengek, adalah tindakan keterlaluan.

"Kanak-kanak hanya mahukan perhatian kerana dia tidak sihat pada pagi itu," kata Mohd Zain.

Laporan bedah siasat mengesahkan punca kematian kanak-kanak itu adalah kerana tercekik.

Asmarani, yang merupakan ibu kepada tiga anak pada mulanya didakwa atas pertuduhan membunuh namun dia kemudian ditawarkan pertuduhan alternatif di bawah Akta Kanak-kanak 2001 kerana menganiaya kanak-kanak dan dia mengaku bersalah atas tuduhan itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Tuanku Ja'afar, Seremban, dua hari sebelum Hari Raya Aidilfitri antara 9.30 pagi dan 10 pagi pada 13 Jun tahun lepas.

Mengikut fakta kes, kanak-kanak itu tidak berhenti merengek walaupun telah dipujuk oleh Asmarani yang kemudian meminta mangsa membuang lampin pakai buangnya ke dalam tong sampah di dapur. Mangsa melempar lampin itu tetapi dia tidak berhenti merengek kerana dia tidak sihat.

Asmarani kemudian mengeluarkan cili hijau dari peti sejuk, mematahkannya menjadi separuh dan memasukkannya ke dalam mulut kanak-kanak itu untuk membuatnya berhenti merengek.

Selepas melihat kanak-kanak itu sukar bernafas, Asmarani yang ditemani suami dan seorang daripada anaknya, bergegas membawa mangsa ke dua klinik tetapi mereka dinasihat untuk membawa mangsa ke hospital.

Terdahulu, peguam Datuk Hanif Hassan yang mewakili Asmarani berhujah hukuman penjara 18 bulan yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi adalah bersesuaian, sambil menambah bahawa Hakim Mahkamah Tinggi telah mempertimbangkan semua aspek termasuk kenyataan daripada ibu kanak-kanak itu.

Hanif kemudian memberitahu wartawan bahawa dia menerima arahan daripada anak guamnya itu untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan hari ini.

Sumber: Bernama

LAPORAN BERKAITAN


Sumber : thereporter.my
Blog, Updated at: 11/14/2019

0 comments:

Loading...