'Dari terus mengecam, saya pilih untuk mendidik mereka' - kata Syed Saddiq tetapi disalah-ertikan oleh geng basikal lajak


Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq memuat naik kenyataan mengenai isu basikal lajak di Instagramnya yang menjelaskan dia dikutuk kerana mengambil pendirian untuk membimbing golongan itu, bukannya menghukum. 

Syed Saddiq berkata, dia memilih untuk mendekati dan melatih penggemar basikal lajak dengan pendidikan TVET, berbanding kebanyakan pihak yang terus menghina dan mengecam mereka. 

"Dari terus mengecam mereka, saya pilih untuk mendidik mereka tentang keselamatan jalan raya. Dari terus mencaci mereka, saya pilih untuk memasukkan mereka ke Program Pembangunan Berbasikal Negara. 

"Segelintir dari kita suka menghukum dan gagal untuk membimbing. Mereka perlukan bantuan kita semua. Mereka ini adalah tanggungjawab bersama. 


"Saya akan terus mendekati komuniti ini. Saya mahu mereka jadi anak-anak yang berjaya. Saya mahu mereka berbasikal dengan selamat dan mengasah bakat mereka dengan cermat," katanya. 

Syed Saddiq yang juga merupakan Ahli Parlimen Muar itu enggan tragedi yang menimpa 8 remaja berbasikal itu berulang lagi sehingga banyak pihak yang terkesan dari kejadian itu. 

Bagaimanapun, ada segelintir penggemar basikal lajak tidak memahami kenyataan Syed Saddiq dan menyangka menteri berkenaan menyokong aktiviti mereka sepenuhnya. 

Kenyataan yang dibaca tanpa diteliti dan diselami dengan betul membuatkan penggemar basikal lajak ini menggambil kesempatan untuk membidas mana-mana pihak yang dianggap menentang mereka. 




Sedangkan umum tahu aktiviti basikal lajak mendatangkan bahaya lebih-lebih apabila mereka bermain di jalan raya tanpa mengira siang atau malam. 

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti basikal lajak di kawasan masing-masing tampil menyalurkan maklumat untuk tindakan lanjut.

Ibu bapa atau penjaga yang gagal menghalang anak dari terlibat dalam aktiviti basikal lajak juga boleh dikenakan denda RM20,000, penjara lima tahun. 



Sumber : thereporter.my