DUAT Terengganu Angkat Pengajian Kitab Arab Dan Wakaf Al-Quran

Syeikh Tawfiq Ibrahim Dhamrah.
Oleh: Rohaida

KUALA TERENGGANU, 1 November - Akademi DIDIK ULAMA AMILIN Terengganu (DUAT) mengambil inisiatif dengan menganjurkan Daurah Pengajian Kitab Al-Itqan dalam usaha memartabatkan kitab-kitab karya ulama kontemporari Islam.

Ianya termasuk menjemput sendiri penulis kitab tersebut, Syeikh Tawfiq Ibrahim Dhamrah untuk mensyarahkan kitab tersebut sekali gus menganugerahkan sanad kepada para peserta.

Menurut Pengarah DUAT, Muhammad Ramlan Hj Mahmood, DUAT komited dalam usaha memacu perubahan rakyat Terengganu ke arah meningkatkan mutu pengajian ilmu al-Quran dan hadis di kalangan masyarakatnya.

"Justeru, menerusi Daurah Pengajian Kitab Al-Itqan, kami (DUAT) mengambil inisiatif bekerjasama dengan Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Cakna Darul Iman, Terengganu (Iman Care) dan Persatuan Kebajikan RABITAH Institut Pengajian Islam Terengganu (RABITAH).

"Kami menyampaikan Wakaf Al-Quran "Untukmu Ummah" yang melibatkan sebanyak 2000 nashkah al-Quran khusus untuk penduduk terpilih dan institusi pondok serta madrasah di sekitar daerah Kuala Nerus.

"Lebih mengujakan apabila syeikh pakar al-Quran yang kami bawakan dari Jordan ini sudi mensyarahkan kitab karangan beliau sendiri, sekali gus  menganugerahkan sanad kepada para peserta," jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada daurah tersebut di Dewan Auditorium Kompleks Sukan Negeri di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, Ustaz Ridhuan Abdul Karim dan Presiden Rabitah, Ustaz Muzaihar Kamal Mustapa serta tuan-tuan guru, mudir-mudir pondok dan maahad tahfiz.

Kehadiran peserta yang mencecah 450 orang kelihatan sangat teruja dan terpegun sepanjang mengikuti syarahan Syeikh Dr Tawfiq Ibrahim Dhamrah Hafizahullah yang merupakan Ulama Qiraat Negara Jordan.

Beliau juga mengijazahkan sanad beberapa buah kitab dan hadis-hadis Musalsal termasuk kitab al-Itqan, Afdhal al-Hibat (susunan hadis Musalsal), al-Arabaun fi al-Qiraat dan Mutun-mutun Tajwid.

Dalam pada itu, Ramlan turut menyifatkan program sebegini penting kerana mampu membawa rakyat negeri ini ke arah lembayung rahmat seiring ketinggian ilmu dan kehebatan amalan rakyatnya.

Terdahulu, majlis dimulai dengan gimik penyerahan wakaf al-Quran "Untukmu Ummah" kepada wakil-wakil DUN dalam daerah Kuala Nerus melibatkan 2,000 nashkah al-Quran hasil usaha sama DUAT dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

Mengulas mengenai kolaborasi antara Akademi DUAT, Rabitah dan Iman Care, Ramlan meluahkan harapan tinggi agar usaha ini dapat melahirkan modal insan yang seimbang.

"Di mana rakyatnya memiliki penguasaan ilmu yang menyeluruh lebih-lebih lagi golongan muda yang  bakal menjadi pewaris kepada kepimpinan kerajaan negeri di masa hadapan.

"Secara tidak langsung, insiatif Akademi DUAT ini bakal membuka mata rakyat bahawa kerajaan memandang serius usaha ke arah lebih menghayati ilmu-ilmu yang diwarisi alim ulama yang seringkali dilupai dek kerana dikaburi dengan kemajuan tanpa berpaksikan al-Quran dan sunnah," ujarnya.

Menurut Ramlan lagi, al-Quran yang diagihkan tersebut juga dengan misi "1 Rumah 1 Al-Quran".

"Agihan al-Quran tersebut adalah simbolik kepada komitmen kerajaan yang akan sentiasa memastikan rakyatnya dekat dengan al-Quran  sekalipun dalam kesibukan seharian.

"Lagipun, dengan pegangan pada al-Quran dan hadis sahajalah dapat membantu menerapkan unsur-unsur positif dalam setiap anggota masyarakat," tuturnya.

Sumber: teganukita.net