Graduan Wanita Cipta Kejayaan - Titah Sultanah Nur Zahirah

Sultanah Nur Zahirah mencemar duli menyempurnakan Istiadat Pembukaan Majlis Konvokesyen UMT Ke-17 di Dewan Sultan Mizan, di sini hari ini.
KUALA NERUS, 16 September - Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah bertitah supaya graduan wanita berusaha mencipta lebih banyak kejayaan dalam bidang akademik, termasuk program penyelidikan ke arah memartabatkan golongan itu.

Baginda yang juga Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bertitah, dunia masa kini semakin memperlihatkan kecemerlangan akademik dalam kalangan wanita, terutama di universiti.

Sambil menyatakan rasa bangga terhadap pencapaian dua penyelidik wanita UMT susulan kejayaan mereka di di dalam dan luar negara, baginda bertitah ia wajar dijadikan contoh kepada graduan lain.

“Sumbangan dan pembabitan wanita dalam pelbagai bidang di UMT sentiasa menyerlah dan membanggakan. Beta amat berbangga, mengagumi dan mengucapkan tahniah kepada Profesor Madya Dr Wan Iryani Wan Ismail atas penerimaan Anugerah Loreal UNESCO Women In Science National Fellowship baru-baru ini.


“Sudah tentu hasil penyelidikannya iaitu kebaikan khasiat madu untuk mengawal obesiti sangat relevan dengan keperluan masyarakat hari ini. Beta juga berbangga dengan kejayaan Dr Roswati Md Amin yang mengetuai pelayaran saintifik bersempena Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA2019), Mac lalu.

“Semoga kejayaan kedua-dua penyelidik wanita ini menjadi inspirasi kepada penyelidik dan pelajar UMT untuk lebih cemerlang pada masa akan datang,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Majlis Konvokesyen UMT Ke-17 di Dewan Sultan Mizan, di sini hari ini.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut berkenan berangkat ke majlis itu dan turut diiringi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Seramai 2,902 graduan termasuk 70 penerima Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana (145 penerima), Ijazah Sarjana Muda (2,591 penerima) dan Diploma (96 penerima) menerima anugerah masing-masing.

Pada majlis itu, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Dr Daim Zainuddin dan bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana (B) Tan Sri Dr Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin turut menerima Anugerah Ijazah Kehormat disampaikan Sultanah Nur Zahirah.

Daim yang juga bekas Menteri Kewangan dianugerahkan Ijazah Kehormat Ekonomi, manakala Ahmad Kamarulzaman menerima Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan.

Sementara itu Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar dalam ucapannya pada istiadat sama berkata, usaha keras semua warga universiti membuahkan hasil apabila banyak pencapaian dalam pelbagai bidang diraih sepanjang tahun ini.


Katanya, ia termasuk Anugerah Akademik Negara (AAN) Kali Ke-13 bagi kategori Anugerah Pengajaran; menjuarai anugerah The Best Massive Open Online Courses (MOOC) buat kali ketiga berturut-turut sejak 2016 di International University Carnival on E-Learning (IUCEL) dan Anugerah Malaysia’s Research Star Award dan Pengiktirafan Jurnal Creme oleh Kementerian Pendidikan.

“UMT juga sehingga kini sudah menerima 118 geran penyelidikan bernilai RM10.3 juta daripada pelbagai agensi dalam dan luar negara.

“Geran ini pastinya dapat meningkatkan lagi kerja penyelidikan UMT hingga ke peringkat antarabangsa, yang mana impaknya akan dapat dinikmati oleh masyarakat dan industri,” katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN

Sumber: teganukita.net