Hanya Dechi Marcel dikekalkan Terengganu FC II

Posted on Tuesday, November 12, 2019 | 11/12/2019



Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) disahkan hanya mengekalkan pemain tengah, Marcel N'Guessan, sebagai awang import menghadapi Liga Perdana, musim depan.

Tiga lagi pemain iaitu penyerang, Akanni Sunday Wasiu dan Bruno Suzuki, serta bek tengah tinggi lampai, Serhii Andrieiev, pula tidak akan ditawarkan kontrak baru.

Pengendalinya, Roshadi Wahab, berkata kekosongan ditinggalkan itu akan diganti namun masih belum memilih calon terbaik memenuhkan kuota empat pemain import.

Menurutnya lagi TFC II mahu mendapatkan khidmat pemain luar di posisi bek tengah, penyerang dan pemain perancang dengan fungsi nombor 10.

"Ramai yang menyatakan minat untuk menyertai TFC II walaupun kami tidak beraksi dalam Liga Super.

"Senarai penuh skuad TFC II akan dilengkapkan sebelum Disember walaupun mungkin ramai lagi pemain import dijangka hadir mencuba nasib.

"Saya sedang meneliti pemain terbaik untuk bersama pasukan ini di tiga posisi itu," jelas Roshadi.

Bekas pemain Terengganu itu sebelum ini memberi bayangan berminat untuk mengekalkan Bruno semusim lagi selepas beraksi konsisten bersama TFC II sejak 2018.

Malah peledak kelahiran Brazil itu serta Andrieiev turut membantu TFC kendalian Mohd Nafuzi Zain menjuarai kejohanan jemputan di Bangladesh, dua minggu lalu.

"Saya sangat berterima kasih kepada TFC II dan saya ucapkan selamat berjaya.

"Sedang mencari pasukan serta cabaran baru. Terima kasih untuk dua musim ini," tulis Bruno dalam laman sosial instagram miliknya. - Astro Arena
Blog, Updated at: 11/12/2019

0 comments:

Loading...