Hukum Makan Daging Dari Kambing Yang Menyusu Dengan Anjing

Posted on Monday, November 18, 2019 | 11/18/2019



SOALAN:
Didapati seekor kambing menyusu pada seekor anjing, apakah hukum jika makan daging kambing tersebut?

JAWAPAN:
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا
“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.” (Surah al-Baqarah: 168)

Ayat di atas menunjukkan bahawa makanan yang hendak dimakan oleh kita hendaklah memenuhi dua kriteria tersebut iaitu, halal dan baik.

Syeikh as-Sa’di telah mengulas ayat ini dengan mengatakan bahawa ianya ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang-orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi ini, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan binatang-binatang yang telah dihalalkan buat mereka mengambilnya (memakan dan mengambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, atau mencuri atau dengan hasil muamalat (jual beli) yang diharamkan atau perkara-perkara yang diharamkan. Manakala toyyiban pula ialah bukan daripada perkara yang buruk (kotor dan jijik) seperti bangkai, darah, daging khinzir dan lain-lain. Ayat ini adalah merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus. [Lihat : Tafsir as-Sa’di (1/80)]

Memilih memakan makanan yang halal dan baik juga adalah merupakan antara faktor doa diterima oleh Allah SWT. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟
“Seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan berdoa: ‘Ya Rabbku, ya Rabbku’. Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan dia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan?” [HR. Muslim (1015)]

Berbalik kepada soalan yang telah ditanyakan, kita akan mendapati bahawa ianya berkait dengan hukum memakan haiwan al-Jallalah.

Definisi al-Jallalah

Pengarang Mu’jam Lughah al-Fuqaha’ mendefinisikan al-Jallalah sebagai haiwan yang mana makanannya adalah najis dan seumpamanya yang terdiri daripada tahi dan benda-benda kotor. [Lihat: Mu’jam Lughah al-Fuqaha’ (1/165)]

Ibnu Manzur dan Abu Daud juga memberikan definisi yang sama. [Lihat: Lisan al-‘Arab (11/119) dan Sunan Abi Daud, Hadis no 3719, (3/336)]

Haiwan al-Jallalah ialah haiwan yang makanannya daripada najis sekalipun bukan daripada tahi seperti kambing yang membesar dengan susu daripada anjing atau keldai. [Lihat: al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (15/260)]

Imam Nawawi pula menyebut bahawa al-Jallalah ialah haiwan yang makan tahi dan najis, sama ada haiwan tersebut adalah unta atau lembu atau kambing atau ayam. [Lihat: Raudah al-Talibin (3/278)]

Dr. Muhammad az-Zuhaili juga menyatakan perkara yang serupa. [Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/558)]

Sebahagian para ulama' berpendapat haiwan tersebut dikategorikan sebagai al-Jallalah sekiranya majoriti makanan yang dimakannya adalah najis, namun sekiranya majoriti makanannya adalah bersih dan bukan najis, ianya tidak termasuk dalam kategori al-Jallalah. Manakala sebahagian ulama' yang lain pula, tidak mensyaratkan banyak ataupun sedikit, tetapi dengan terzahirnya bau najis dan busuk atau sekiranya berubah struktur warna, rasa dan bau daging tersebut. Inilah pendapat yang telah dipegang dan disahihkan oleh Imam Nawawi. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi (5/447), al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/558), Mughni al-Muhtaj (6/155), Fathu al-Wahhab (2/237 dan al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (9/28)]

Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa haiwan yang memakan kotoran tetapi tidak sampai mengubah struktur bau, rasa dan warnanya, ia tidak dikategorikan sebagai al-Jallalah.

Hukum memakan haiwan al-Jallalah

Imam at-Tirmidzi dan Imam Abu Daud membawakan riwayat daripada Ibnu Umar R.A di dalam kitab sunan mereka berkenaan al-Jallalah:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَكْلِ الْجَلَّالَةِ وَأَلْبَانِهَا
“Rasulullah SAW melarang daripada makan haiwan al-Jallalah (dagingnya) dan susunya.” [HR. al-Tirmidzi (1824) dan Abu Daud (3785)]

Terdapat riwayat lain yang datang dengan lafaz:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الجَلَّالَةِ فِي الْإِبِلِ : أَنْ يُرْكَبَ عَلَيْهَا، أَوْ يُشْرَبَ مِنْ أَلْبَانِهَا
“Rasulullah SAW melarang daripada makan haiwan al-Jallalah daripada jenis unta, sama ada menunggangnya atau minum daripada susunya.” [HR. Abu Daud (3787)]

Hadis-hadis ini jika dilihat secara zahirnya, menunjukkan tegahan Nabi SAW daripada memakan, menunggang dan minum susu haiwan al-Jallalah.

Namun demikian, para ulama' berbeza pendapat berkenaan makna larangan tersebut adakah ianya menunjukkan kepada haram ataupun makruh tanzih.

Di dalam masalah ini, mazhab Syafie mempunyai dua pendapat:

Pendapat yang pertama, adalah haram bagi kita makan daging dan minum susunya kerana ianya telah menjadi najis. Ini adalah merupakan pendapat Abu Ishak al-Marwazi, al-Qaffal, Imam al-Ghazali dan al-Baghawi.

Pendapat yang kedua, hukum makan daging dan minum susu al-Jallalah adalah makruh tanzih. Ini adalah merupakan pendapat Imam Nawawi, majoriti ulama' Iraq, dipersetujui oleh al-Ruyani dan selainnya daripada kalangan para ulama' (yang muktamad). Imam al-Rafie menyatakan bahawa pandangan ini dipersetujui (disahihkan) oleh ramai para ulama'.

Akan tetapi kalau sekiranya haiwan al-Jallalah dikuarantin terlebih dahulu selepas zahirnya bau najis tersebut, serta diberi makan makanan yang baik (bukan najis) sehingga hilang bau tersebut, hukumnya tidak lagi menjadi makruh.

[Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (9/28), Mughni al-Muhtaj (6/155), al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/559) dan Raudah al-Talibin (3/278)]

Kesimpulan

Setelah kami meneliti pandangan para ulama' di atas, kami berpendapat bahawa kambing yang telah disusukan oleh anjing adalah termasuk di dalam kategori al-Jallalah dan hukum memakan dagingnya serta minum susunya adalah makruh tanzih. Ini dikuatkan lagi dengan kenyataan daripada Imam Nawawi:

السَّخْلَةُ الْمُرَبَّاةُ بِلَبَنِ الْكَلْبَةِ لَهَا حُكْمُ الْجَلَّالَةِ الْمُعْتَبَرَةِ فَفِيهَا وَجْهَانِ (أَصَحُّهُمَا) يَحِلُّ أَكْلُهَا
“Kambing yang membesar dengan susu anjing adalah termasuk dalam kategori al-Jallalah. Padanya ada dua hukum yang telah diperselisihi. Akan tetapi pendapat yang kuat, halal memakan dagingnya (makruh).” [Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (9/29)]

Sebagai langkah berhati-hati dan keluar daripada khilaf, kami berpendapat agar dikuarantinkan terlebih dahulu haiwan berkenaan sama ada dengan dikurung, diasingkan atau seumpamanya serta diberi makanan yang baik sehingga hilang kesan najis tersebut. Secara umumnya, ‘illah (sebab) bagi ketidakharusan memakan haiwan al-Jallalah adalah kerana ia memakan najis dan kotoran sehingga memberi kesan kepada dirinya. Justeru, sekiranya ‘illah tersebut hilang dengan cara mengurung, kuarantin atau seumpamanya, maka hilanglah larangan memakan haiwan tersebut.

Contohnya sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Ibnu Umar R.A yang mengurung ayam al-Jallalah selama tiga hari. [Lihat: Musannaf Ibn Abi Syaibah (24608)]

Ini juga selari dengan kaedah:

إذا زالت العلة زال الحكم
“Apabila hilang ‘illahnya, maka tiadalah hukum tersebut.”

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 11/18/2019

0 comments:

Loading...