Hukum Orang Islam Hantar Jenazah Bukan Islam Ke Kuburan


SOALAN:
Apakah hukumnya seorang Islam turut menghantar jenazah saudaranya yang bukan Islam ke tanah perkuburan?

JAWAPAN:
Ulama’-ulama’ mazhab Syafie dan Hanafi telah menaskan atas harus menghantar jenazah kafir ahli kitab dan mengikutnya samada yang mati itu daripada keluarganya yang dekat atau jirannya atau selain dari mereka.

Telah menyebut Imam Ibnu Mazah Al-Bukhari:

سأل رجلٌ ابنَ عباسٍ رضي الله عنهما: أن أمي ماتت نصرانيَّةً؟ فقال: اتبع جنازتها واغسِّلها وكفِّنها، ولا تصلي عليها، وادفنها
Telah bertanya seorang lelaki akan Ibnu Abbas r.a: “Sesungguhnya ibuku telah mati dalam keadaan beragama Kristian.” Kata Ibnu Abbas: “Harus kamu ikut jenazahnya dan membersihkannya dan kafannya. Dan jangan kamu sembahyangkan akan dia dan tanamlah akan dia.” (Kitab Al-Muhith Burhani)

Dan adalah sesungguhnya Harith bin Abi Rabi’ah telah mati ibunya dalam agama Kristian maka dia telah mengikut akan jenazahnya pada sekumpulan dari para sahabat r.a.

Berkata Imam Nawawi:

ولا بأس باتباع المسلم جنازة قريبِه الكافر
“Dan tidak mengapa dengan mengikut orang Islam akan jenazah keluarganya yang kafir.” (Kitab Minhaul Talibin)

Berkata Syeikh Ramli:

ولا بأس باتباع المسلم جنازة قريبه الكافر
“Dan tidak menjadi kesalahan dengan mengikut oleh orang Islam akan jenazah keluarganya yang dekat yang kafir.” (Kitab Nihayatul Muhtaj)

Imam Al-Azra’ie telah menyebut bahawa tidak mengapa juga jika bukan keluarga yang dekat dan begitu juga dengan isteri dan hamba yang dimiliki dan kerabat dan juga penghulu dan jiran sebagaimana pada hukum ziarah orang sakit pada pendapat yang zahir.

Berkata Imam Syarwani:

وللمسلم زيارة قبر كافر. قال: في "شرحه": أي يُباح له ذلك كما قطع به الأكثرون وصوبه في "المجموع"
“Dan harus bagi orang Islam ziarah kubur orang kafir.” (Kitab Hasyiah ala Tuhfah)

Tersebut dalam Majmu’ bahawa tiada bezanya antara keluarga yang dekat dan orang lain. Dan diambil dari yang demikian itu akan ketiadaan haram pada mengikut jenazahnya daripada keluarga atau orang lain.

Berkata Mufti Mesir pada himpunan Fatwa Mufti Mesir:

فيجوز للمسلم اتِّباعُ جنازةِ غير المسلم وتشييعها، وهذا من صور المواساة والبرِّ ومكارِم الأخلاق المأمور بها شرعًا.
“Maka harus bagi orang Islam mengikut jenazah orang bukan Islam dan menghantarnya. Ini adalah dari gambaran yang diluaskan perlakuan baik dan kemuliaan akhlak yang disuruh dengannya oleh agama.”

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Azhar Idrus
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media



Oh! Youtube


Sumber: Oh! Media