Insentif Kepada Ibu Susuan


KUALA TERENGGANU, 19 November - Kerajaan negeri bercadang untuk memberi insentif berupa imbuhan kepada ibu susuan yang menyusukan bayi kepada  para wanita yang bekerja.

Walaupun ia suatu perkara yang baharu kepada rakyat Terengganu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, ia telah lama dipraktikan di negeri lain.

“Saya rasa terutamanya bila ramai ibu yang bekerja  jadi timbul satu kesedaran di situ  dan perbincangan serta akhirnya  merasakan  bahawa ibu susuan sangat penting.

“Kita melihat kepada  ibu-ibu yang berada  di kampung dan  tidak bekerja serta badannya sihat dan mungkin mempunyai susu yang lebih  jadi  satu kerjaya pula kepada ibu-ibu ini  kita  ambil mereka diletakkan dalam satu tempat dimana dia menyusukan bayi dan kita bayar  sendiri imbuhan kepada mereka,” jelasnya.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berkata demikian di sidang media selepas merasmikan Program Seminar Kekeluargaan Islam ‘Anak Susuan Patuh Syariah’ peringkat negeri Terengganu di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Oleh itu, beliau akan membawa perkara tersebut dalam mesyuarat Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) yang bakal berlangsung pada petang ini.

“Perkara ini akan dibincangkan dengan terperinci dan  berharap supaya  YPK berusaha menjayakan  Projek Ibu Susuan  Patuh Syariah dengan  pandangan yang dikemukan.

“Cuma sebagaimana  yang saya sebutkan tadi kena pastikan rekodnya cukup kemas supaya suatu hari nanti  tidak berlaku perkahwinan sesama anak susuan,” jelasnya.

Menurut Hanafiah, beliau yakin program ini akan memberikan kemudahan dan keselesaan kepada ibu-ibu yang bekerja.

“Ibu yang bekerjaya pasti sangat suka  dengan program ini kerana beri keselesaan  kepada dia untuk meletakkan anak dan tumpukan sepenuh masa  kepada kerjaya," ujarnya.

Beliau berkata, pelaksanaan program tersebut akan bermula selepas bulan Syawal sekitar Julai atau Ogos 2020 dan paling lewat akan direalisasikan awal tahun 2021.

Sumber: teganukita.net