Isu pemain 'Anak Jati' Terengganu FC, bukan semua pemain muda


Kuala Terengganu: Isu penggunaan pemain anak jati Terengganu FC bagi musim depan terus hangat diperkatakan, kecaman dan kritikan terus dilontarkan dari peminat dan penyokong, tak lupa juga ada yang menyokong dan hanya mengambil langkah menunggu dan lihat apa yang dirancangkan oleh PBSNT/Terengganu FC berhasil atau pun tidak.

Timbalan President PBSNT, YB Ustaz Hishamuddin menerusi facebooknya serba sedikit menerangkan perancangan musim depan dan tentang anak jati..

Rombakan pasukan bola sepak adalah suatu perkara yang normal berlaku untuk mendepani musim yang baharu. Tiada apa yang perlu dipolemikkan. Sewajarnya kita memberikan peluang kepada Ketua Jurulatih yang telah dipilih untuk menentukan pasukan pilihan beliau dalam cabaran musim 2020.


Benar kami ada membuat pemotongan bajet. Benar juga kami ingin memperkenalkan anak jati negeri Terengganu membarisi pasukan utama ini. Semua ini adalah lahir daripada kata sepakat dan usaha antara barisan kejurulatihan dan pengurusan. Tentu sekali untuk melihat kebangkitan pasukan tercinta ini dapat diterjemahkan sebaiknya. Itulah juga impian kami pada tahun 2019. Apakan daya kita gagal menempatkan diri berada antara yang terbaik.


Usaha memperkenalkan anak jati Terengganu juga lahir daripada suara bersama semua pihak. Ketika di awal pembentukan pasukan TFC 2019, kami juga dikecam kenapa abaikan anak jati Terengganu sedangkan pasukan TFC 2, TFC 3 dan TFC 4 begitu cemerlang pada tahun 2018. Kini, kami ambil pandangan tersebut untuk diaplikasikan pada tahun 2020. Nampaknya usaha ini juga dikecam hebat hingga meletakkan anggapan pasukan TFC bakal jatuh ke liga perdana. Tidak mengapa. Semua pihak berhak bersuara dan memberikan pandangan. Bagi peminat yang mengambil sikap positif, kami rakamkan ucapan terima kasih dan setinggi penghargaan. Bagi yang bersikap negatif, kami akan jadikan ia sebagai cabaran yang mesti dibuktikan sebaiknya.





Pemotongan bajet adalah perkara biasa dalam pengurusan mana-mana organisasi apabila perkembangan semasa ekonomi kurang memberangsangkan. Itu komitmen pengurusan. Ia tidak menjejaskan pembentukan pasukan pada masa mendatang. Saya yakin, kombinasi yang disusun oleh pihak kejurulatihan mengimbangi keperluan. Gabungan junior yang terpilih dan senior yang berkualiti disusun sebaiknya oleh Ketua Jurulatih Nafuzi Zain.


Dalam aspek pemain import pula, kedatangan pemain import yang baru diharap mampu memberikan sesuatu yang berharga buat pasukan. Beberapa pemain luar Terengganu juga masih ada. Sasaran jumlah peratus pemain anak jati Terengganu akan dapat dicapai pada musim depan, InsyaAllah.


Ada ketikanya, pasukan kerja TFC serba salah untuk memaklumkan perkembangan semasa pembentukan pasukan. Bukannya apa, nanti dikatakan gempak di awal musim sahaja. Sempena musim 2019, kami berusaha memperkasakan media TFC. Kini kita sudah berjaya menerbitkan paparan video pendek untuk dikongsi bersama peminat dan pelbagai lagi usaha pemerkasaan media. Pada kami, kita satu keluarga. Kalau peminat inginkan kejayaan, demikianlah pihak pengurusan dan kejurulatihan. Semuanya impikan kejayaan cemerlang pasukan.


Bagaimana dengan 2020? InsyaAllah, paparan media tetap akan dilaksanakan sebagaimana 2019. Ia bertujuan untuk ‘entertain’ penaja jika telah memiliki penajaan dan meyakinkan bakal penaja untuk melihat pasukan TFC bekerja dalam mempromosikan kembali syarikat mereka apabila bersama TFC. Jauh sekali untuk berlagak.


Pemakluman melalui laman Terengganu Football Club tentang 12 orang pelepasan pemain pasukan TFC 2019 bertujuan untuk merakamkan penghargaan atas jasa bakti semua rakan pasukan kita pada tahun ini. Dahulu Tuan Haji Irfan Bakti selalu tegaskan kepada saya, dalam dunia bola sepak 'pergi dan datang' adalah suatu perkara lumrah. Saya percaya Nafuzi Zain berusaha menyusun pasukan yang boleh mempamerkan mutu dan kualiti yang diinginkan kejurulatihan. Anda pernah cemuh dan marah sebahagian mereka. Tapi saat berpisah kita semua rasa sayang dan kasih. Ikatlah hubungan persaudaraan dalam hubungan kita ‘keluarga TFC’ walau tahun mendatang kita sudah tidak bersua dan kita juga akan mengikat hubungan persaudaraan dengan rakan baru yang bakal menyertai kita tidak lama lagi.


Kritikan membina amat dialukan buat kami. Tapi jangan ‘gasang’ sangat. Malu ke orang lain bila baca. Sama-samalah kita berusaha untuk melihat TFC melangkah dengan lebih baik dan cemerlang pada musim 2020 nanti. Salah silap yang dilakukan, kami pohon jutaan kemaafan.


#Gambar bersama Partiban hanya sekadar hiasan. Bukan akan kembali dengan TFC. Cuma kenangan. Partiban pernah dikutuk maki dengan dahsyat pada tahun 2018. Tapi akhirnya kita rindu kembali kelibat Partiban pada tahun 2019.


Sumber : FB YB Ustaz Hishamuddin