Keadaan Seseorang Bergantung Pada Pengakhirannya


Dari Ibnu Mas’ud radhiyallahu anhu, dia berkata:

حَدَّثَنَا رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم وَهُوَ الصَّادِقُ الْمَصْدُوْقُ : إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِيْنَ يَوْماً نُطْفَةً، ثُمَّ يَكُوْنُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُوْنُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ إِلَيْهِ الْمَلَكُ فَيَنْفُخُ فِيْهِ الرُّوْحَ، وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ: بِكَتْبِ رِزْقِهِ وَأَجَلِهِ وَعَمَلِهِ وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيْدٌ. فَوَ اللهِ الَّذِي لاَ إِلَهَ غَيْرُهُ إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُوْنُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُهَا، وَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ حَتَّى مَا يَكُوْنُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَيَدْخُلُهَا
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menyampaikan kepada kami dan beliau adalah orang yang benar lagi dibenarkan: “Sesungguhnya setiap kamu dihimpunkan kejadiannya di perut ibunya sebagai setitis air mani selama empat puluh hari, lalu berubah menjadi segumpal darah selama empat puluh hari, kemudian menjadi segumpal daging selama empat puluh hari. Kemudian diutus kepadanya seorang Malaikat lalu ditiupkan kepadanya roh dan diperintahkan untuk mencatat empat perkara; mencatat rezekinya, ajalnya, amalnya, dan celaka atau bahagia. Demi Allah yang tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Dia, sesungguhnya di antara kamu ada orang yang melakukan perbuatan ahli syurga sehingga jarak antara dirinya dengan syurga hanya tinggal sehasta, akan tetapi catatan (ketetapan takdir) mendahuluinya, akhirnya dia melakukan perbuatan ahli neraka, dia pun masuk ke neraka. Sesungguhnya di antara kamu ada orang yang melakukan perbuatan ahli neraka sehingga jarak antara dirinya dengan neraka hanya tinggal sehasta, akan tetapi catatan (ketetapan takdir) mendahuluinya, akhirnya dia melakukan perbuatan ahli syurga, dia pun masuk ke syurga” (HR. Bukhari dan Muslim)

Syarah/Penjelasan

Maksud kata-kata “yang benar lagi dibenarkan” adalah yang benar ucapannya lagi dibenarkan wahyu yang dibawanya.

Maksud kata-kata “sesungguhnya setiap kamu dihimpunkan kejadiannya di perut ibunya” menurut sebagian ulama’ adalah, bahawa air mani dalam rahim seorang ibu berhamburan, lalu Allah Subhanahu wa Taala menghimpunnya di rahim di tempat kelahiran dalam masa tersebut (40 hari).

Hadith di atas juga menunjukkan beberapa hal berikut:

1. Allah Subhanahu wa Taala mengetahui tentang keadaan makhluknya sebelum mereka diciptakan dan apa yang akan mereka alami nanti, termasuklah sama ada di kalangan yang bahagia atau celaka.

2. Tidak mungkin bagi manusia di dunia ini untuk memutuskan bahawa dirinya masuk syurga atau neraka, akan tetapi amal perbuatan boleh menjadi asbab untuk memasuki keduanya.

3. Amal perbuatan dinilai di akhirnya. Oleh kerana itu, hendaklah manusia tidak terpedaya dengan keadaannya ketika ini, justeru dia harus selalu memohon kepada Allah agar diberikan keteguhan dan pengakhiran yang baik (husnul khotimah).

4. Hendaknya dia tenang dalam masalah rezeki, dan qana’ah (menerima apa adanya) dengan menjalani sebab-sebabnya serta tidak terlalu mengejarnya dan mencurahkan hati kepadanya.

5. Kehidupan ada di tangan Allah. Seseorang tidak akan mati kecuali apabila dia telah menyempurnakan umurnya.

6. Hadith ini juga menjelaskan bahawa taubat dapat menghapuskan amal yang dikerjakannya di masa lalu.

7. Hadith ini menyuruh kita untuk tidak hanya memiliki rasa rajaa’ (berharap) saja, namun hendaknya kita menyertakan rasa khauf (khuatir).

8. Sabda Beliau: “Sesungguhnya di antara kalian ada orang yang melakukan perbuatan ahli syurga sehingga jarak antara dirinya dengan syurga hanya tinggal sehasta akan tetapi catatan itu mendahuluinya, akhirnya dia melakukan perbuatan ahli neraka, dia pun masuk ke neraka”, hal ini menunjukkan bahawa tidak selamanya orang yang mengerjakan amalan ahli syurga niatnya baik, kerana orang tersebut meskipun tampak di hadapan manusia mengerjakan amalan penduduk syurga namun memiliki niat yang buruk, dan niat buruk itu menguasai dirinya sehingga dia mendapatkan su’ul khotimah (pengakhiran yang buruk).

9. Perubahan keadaan manusia dari buruk menjadi baik banyak terjadi, tetapi perubahan keadaan manusia dari baik menjadi buruk sangat jarang. Hal ini kerana kelembutan Allah Subhanahu wa Taala dan rahmat-Nya.

10. Sebahagian ulama’ dan bijak pandai mengatakan bahawa dijadikannya pertumbuhan janin manusia dalam kandungan seorang ibu secara berangsur-angsur adalah sebagai rasa kasih sayang kepada ibu. Meskipun sebenarnya Allah mampu menciptakannya langsung sekaligus.

11. Janin manusia apabila di bawah usia empat bulan (120 hari), maka dia belum dihukum sebagai manusia yang hidup. Oleh kerana itu, jika keguguran terjadi setelahnya baru berlaku dimandikan, dikafankan dan disolatkan.

12. Dalam hadith ini terdapat dalil terhadap adanya qadar, dimana hal ini merupakan akidah Ahlussunnah wal Jamaah, dan bahawa semua yang terjadi adalah dengan takdir Allah. Allah tidaklah ditanya terhadap apa yang Dia lakukan, sedangkan merekalah (hamba) yang ditanya, dan Allah tidak boleh diprotes dalam kerajaan-Nya, Dia berbuat dalam kerajaan-Nya apa yang Dia kehendaki, dan perbuatan-Nya di atas hikmah, ihsan dan keadilan-Nya. Dia tidak pernah menzalimi seorang pun meskipun seberat zarrah.

Imam As Sam’aniy berkata: “Untuk mengetahui hal ini jalannya adalah taufiq dari Al-Quran dan As-Sunnah, bukan qiyas dan akal semata. Barangsiapa yang berpindah dari taufiq, maka dia akan sesat dan kebingungan dan tidak akan sampai kepuasan jiwa serta ketenangan hati, kerana qadar itu rahsia di antara rahsia Allah, dimana terhadapnya telah dibuatkan tirai, sehingga hanya diketahui oleh-Nya Subhanahu wa Taala, dan Dia menutupnya dari akal makhluk serta pengetahuan mereka. Allah Taala telah menutup pengetahuan qadar dari alam semesta, sehingga ia tidaklah diketahui oleh Malaikat mahupun Nabi yang diutus.”

13. Telah disebutkan dalam banyak hadith larangan meninggalkan beramal kerana bersandar dengan takdir, bahkan kita tetap diperintahkan beramal, dan masing-masing akan dimudahkan kepada sesuatu yang untuknya ia diciptakan. Oleh kerana itu, siapa yang termasuk orang bahagia, maka Allah Subhanahu wa Taala akan memudahkan kepadanya untuk mengerjakan amalan orang yang berbahagia, dan siapa yang termasuk orang celaka, maka Allah akan mudahkan untuk mengerjakan amal orang yang celaka.

Para ulama’ berkata: “Kitab Allah Taala, Lauh (tempat dituliskan takdir)-Nya dan pena-Nya, semua itu wajib diimani, adapun bentuk dan sifat-Nya, maka pengetahuan hal itu dikembalikan kepada Allah Taala, manusia tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah, kecuali apa yang dikhendaki-Nya.”

Wallahua’lam.

Oleh: Marwan Hadidi
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Sumber: Oh! Media