'Kipree Mungkin Tidak Kekal Bersama Terengganu' - PBSNT

Kipree (kanan) bermungkinan besar akan berhijrah ke pasukan baharu.
KUALA TERENGGANU, 2 November - Masa depan penyerang berbisa, Tchetche Kipree bersama Terengganu Football Club (TFC) untuk saingan Liga Malaysia musim depan masih samar.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim berkata, ia berikutan tonggak utama TFC itu menolak tawaran pembaharuan kontrak bagi mengharungi musim baharu.

Justeru, pihaknya akan mencari pengganti terbaik yang setanding dengan bekas penjaring terbanyak Piala Malaysia 2018 itu.

"Nampaknya (Tchetche) dah ada pasukan pilihannya sendiri dan saya jangka dia tidak akan kekal bersama TFC.

"Persatuan meletakkan kepercayaan kepada Nafuzi untuk membentuk pasukan yang mantap dan mencari pengganti lebih baik," katanya ketika ditemui pemberita selepas menandatangi kontrak penajaan bersama RedONE kelmarin.
Hishamuddin Abdul Karim.

Penyerang kelahiran Ivory Coast itu dikatakan berada dalam radar beberapa kelab, termasuk juara Piala FA dan finalis Piala Malaysia, Kedah.

Selain itu, Hishamuddin turut mengesahkan kontrak pemain dari Kemboja, Thierry Chantha Bin, tidak disambung dan TFC akan mendapatkan pemain baharu bagi kuota Asia Tenggara.

"Nafuzi Zain, akan diberikan tugas untuk mencari tonggak import sekembalinya TFC daripada kejohanan Piala Sheikh Kamal di Bangladesh.

"Setakat ini, hanya Lee Tuck dan (Sanjar) Shaakhmedov akan kekal bersama TFC," tambah beliau.



Sumber: teganukita.net