KKM rampas 2,135 produk makanan yang kononnya boleh sembuhkan pelbagai penyakit


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyita 2,135 produk makanan bernilai RM60,494.53 yang mempunyai akuan boleh merawat penyakit pada label dan pengiklanan produk, dalam operasi khas dua hari di seluruh negara bulan lepas.

Ketua Pengarah KKM Dr Noor Hisham Abdullah berkata, selain itu 47 notis dengan nilai keseluruhan RM113,500 telah dikeluarkan kepada pemilik premis makanan, yang gagal mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Katanya, mengikut Peraturan 18(6), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 menyatakan bahawa label makanan tidak boleh mengandungi akuan kesihatan seperti mencegah, mengurang, merawat dan menyembuhkan sesuatu penyakit dan kegagalan mematuhinya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebih RM100,000 dan penjara tidak lebih dua tahun.

"KKM memandang serius penjualan produk makanan yang membuat akuan kesihatan pada label dan pengiklanan produk makanan sama ada di media elektronik, media cetak, media sosial, risalah dan lain-lain.

"Penyataan seperti boleh merawat penyakit, jus kesihatan terbaik, boleh menyembuhkan sakit buah pinggang, kencing manis, menghilangkan nyanyuk dan sebagainya adalah dilarang pada iklan atau label makanan," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dr Noor Hisham turut menyeru kepada orang ramai yang mempunyai sebarang kemusykilan isu keselamatan makanan, boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah/Kawasan/Bahagian atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang di sini atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM).

Sumber: Bernama


Sumber : thereporter.my