'Mangsa ditekup dengan bantal sehingga mati' - Peguam kongsi detail kes 3 penuntut kolej bunuh teman wanita & bapanya


Gara-gara bimbang teman wanita buat laporan polis berhubung kehilangan barang kemas ibunya, suspek tergamak bersuhabat dengan dua rakannya untuk membunuh pensyarah dan bapanya yang merupakan pesara. 

Kes pembunuhan ini berlaku pada 9 Mac 2012. Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 22, Mohamad Sharafe Matt Noh, 21, dan Azizi Aizat Ibrahim, 22, didapati bersalah dan dikenakan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan membunuh pensyarah Zara Eleena, 23 (OKU), dan bapanya, Omar Peter, 56 di rumah di Taman Kinrara, Puchong. 

Kes kembali viral di media sosial yang dimuat naik oleh peguam Sir Kamarul di Twitternya.

DULU pernah ada kes duit hilang sebab boyfriend curi. Takut kena tangkap polis, boyfriend pun menyamar dan berlagak macam ustaz. Kononnya boleh merawat penyakit dan menghalau hantu pada duit yang hilang. Rawatan yang dibuat rupa-rupanya membawa satu kisah ngeri. 

Kes ini tercetus angkara kehilangan duit dan barang kemas kepunyaan mangsa dan ibu mangsa. Barang kemas dan duit tersebut sebenarnya telah dicuri oleh suspek. Suspek cuba menafikan dia yang mencuri dengan menyuruh mangsa menjalani rawatan tradisional. 

Rawatan itu perlu bagi menghalau hantu yang dikatakan ada pada duit yang hilang. Suspek bersama tiga rakannya yang lain merupakan penuntut di sebuah kolej di ibu negara dan mangsa dipercayai merupakan pensyarah dan juga kekasih kepada suspek utama.

Ketika rawatan hendak dijalankan, barang kemas emak mangsa dikumpul dan diletakkan di dalam satu bekas plastik. Barang kemas tersebut diberikan kepada suspek utama.

Rawatan pertama kali sepatutnya dibuat di rumah mangsa telah dibatalkan tanpa alasan yang jelas diberikan. 

Dua hari kemudian, suspek bersama tiga rakannya berkumpul. Mereka ingin merancang sesuatu. Kali ini bukan rawatan tradisional yang mahu dibuat. Suspek utama yang merupakan kekasih kepada mangsa tahu mangsa akan membuat laporan polis tentang kehilangan wang dan barang kemas. 

Suspek pun gelabah. Dia mungkin akan dipenjara dan disebat atas kesalahan mencuri. Jadi, dia dan rakannya perlu bertindak pantas. Suspek memberikan sarung tangan dan tali kepada tiga rakannya. Mereka rancang nak membunuh mangsa dan ayahnya.

Pada hari kejadian, ibu mangsa tiada di rumah bersama mangsa dan ayahnya kerana telah pulang ke kampung halaman di Johor. Ketika itu, suspek dan tiga rakannya datang ke rumah mangsa. Mangsa ingatkan mereka mahu membuat rawatan seperti yang dijanjikan, tetapi mangsa sebenarnya diperangkap. 

Ketika tiba di rumah mangsa, suspek dan seorang kawannya keluar sekejap dari rumah mangsa untuk berjumpa dengan seseorang di tempat lain. Yang tinggal di rumah hanyalah ayah mangsa dan dua rakan suspek. 

Ayah mangsa dan dua rakan suspek sama-sama menonton tv ketika itu. Salah seorang daripadanya bangun dan pergi ke tandas. Dia kembali dengan memakai sarung tangan.

Rakan suspek itu terus menarik ayah mangsa dan mengikat tangan dan kaki. Hidung dan mulut ayah mangsa ditutup. Ayah mangsa kemudian ditarik ke dalam bilik paling depan. 

Rakan suspek terus menutup hidung dan mulutnya sehingga tidak lagi bernafas. Setelah ayah mangsa tidak lagi bernafas, mereka semua duduk di ruang tamu menunggu mangsa dan suspek sampai. 

Semasa mangsa tiba di rumahnya, mangsa ingin berjumpa dengan ayahnya tetapi dihalang oleh suspek. Mangsa dibawa ke bilik belakang dan disitu mangsa pula dikerjakan. Muka mangsa ditutup dengan bantal. Mangsa meronta-ronta, kemudian terkulai dan meninggal dunia.

Selepas kejadian itu, kesemua suspek melarikan diri ke utara tanah air. Kematian mangsa dan ayanya dapat dihidu oleh ibu mangsa yang berasa curiga kerana dia tidak dapat berhubung dengan anak dan suaminya beberapa hari sebelum kejadian. Firasatnya menjangkakan perkara buruk terjadi. 


Laporan polis dibuat oleh ibu mangsa. Suspek dan tiga rakannya telah ditahan dan didakwa atas kesalahan membunuh. Mahkamah Tinggi telah mendapati suspek dan dua rakannya bersalah dan digantung sampai mati. Seorang rakan suspek dilepaskan dan dibebaskan. 

Peguam bela suspek kemudian membuat rayuan di Mahkamah Rayuan Putrajaya. Suspek dikatakan tidak terlibat membunuh ayah mangsa. Suspek tiada di tempat kejadian ketika ayah mangsa dibunuh. Adakah hujahan ini diterima oleh mahkamah? 

Panel Hakim Mahkamah Rayuan menolak hujahan peguam bela suspek. 'Presence is not necessary to constitute participation in every case. It is sufficient for the accused to have done an act with some nexus to the offence' (kes Mahkamah Persekutuan, Farose v PP). 

'What took place in the accused's house is sufficient to show the existence of common intention amongst four accused persons to murder. 

'This is the pre-arranged plan that was hatched to commit the offence.'

Peguam bela suspek juga berhujah mangsa dan ayahnya meninggal tidak dibuktikan dengan jelas melalui bukti perubatan ianya mampu menyebabkan mereka mati. Mereka meninggal mungkin kerana lebihan dos paracetamol. Tetapi, hujahan peguam bela ditolak. 

'The evidence had indeed revealed both deceased died on account of being smothered by accused person, both had died of asphyxiation'. Jadi, punca kematian mangsa dan ayahnya memang telah dibuktikan dengan jelas. 

Panel hakim Mahkamah Rayuan, YAA Aziah Ali, Rohana Yusuf dan Ahmadi Haji Hasnawi pada Mac 2017 telah menolak rayuan peguam bela suspek. Kesemua suspek kekal bersalah dan dihukum gantung sampai mati. 

Keputusan Mahkamah Rayuan dirayu peguam bela suspek ke Mahkamah Persekutuan. Pada Mac 2018, panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, YAA Tun Md Raus Sharif telah mengekalkan sabitan dan hukuman gantung yang dikenakan. Semua suspek bersalah dan dihukum gantung sampai mati. 

Penghakiman penuh kes boleh dirujuk dalam Mohamad Zul Shahril v Public Prosecuter [2017] MLJU 274, Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Sumber: Sir Kamarul


Sumber : thereporter.my