Membaca Ayat Al-Quran Berulang Kali Di Dalam Solat


SOALAN:
Boleh jelaskan tentang hukum seseorang itu membaca ayat Al-Quran secara berulang kali di dalam solat?

JAWAPAN:
Dalam membaca Al-Quran al-Karim, kita dituntut untuk melakukan tadabbur terhadap ayat-ayat yang terdapat di dalamnya. Begitu banyak nas yang menggalakkan perbuatan tadabbur al-Quran antaranya seperti yang dinyatakan dalam firman Allah SWT:

كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِّيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ
“(Ini adalah) Kitab yang Kami turunkan ia kepadamu (wahai Muhammad) yang penuh dengan keberkatan, supaya mereka mentadabbur ayat-ayatnya.” [Surah Shad (29)]


Antara cara yang disebutkan oleh para ulama’ untuk menambahkan tadabbur ke atas ayat-ayat yang dibaca adalah dengan cara membacanya secara berulangkali. Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Zar Al-Ghifari beliau berkata:

قَامَ النَّبِيُّ ـ صلى الله عليه وسلم ـ بِآيَةٍ حَتَّى أَصْبَحَ يُرَدِّدُهَا
“Rasulullah SAW pernah berdiri di dalam solat dengan membaca satu ayat yang baginda mengulang-ulangnya sehingga pagi. Dan ayat tersebut adalah:

إِنْ تُعَذِّبْهُمْ فَإِنَّهُمْ عِبَادُكَ وَإِنْ تَغْفِرْ لَهُمْ فَإِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
“Sekiranya Engkau (wahai Allah) mengazab mereka maka sesungguhnya mereka itu adalah hamba-hamba-Mu dan sekiranya Engkau mengampuni mereka maka sesungguhnya Engkau adalah Tuhan yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” [Riwayat Ibn Majah (1350)]


Imam Al-Nawawi Rahimahullah menjadikan hadis di atas ini sebagai sandaran dalam mengeluarkan pendapat beliau bahawa adalah disunatkan untuk seseorang itu mengulangi bacaan ayat-ayat Al-Quran dengan tujuan untuk tadabbur. Ini seperti yang disebutkan oleh beliau dalam kitab Al-Tibyan fi Adab Hamalat Al-Quran (Hlm. 86).

Demikian juga Imam Al-Nawawi menukilkan beberapa riwayat yang menunjukkan bahawa mengulang-ulang bacaan ayat di dalam solat ini juga turut diamalkan oleh para salafussoleh di dalam solat mereka. Antaranya adalah sahabat Nabi SAW yang bernama Tamim Al-Dari R.A yang mengulang-ulang bacaan ayat ke-21 dari Surah Al-Jaatsiyah di dalam solat beliau. Begitu juga Asma’ bint Abu Bakar Al-Siddiq yang mengulang-ulang ayat ke-27 dari Surah Al-Thur di dalam solat. Demikian Ibn Mas’ud R.A mengulangi bacaan ayat ke-114 dari Surah Taha dan ramai lagi dari kalangan salaf yang melakukannya. [Rujuk Al-Tibyan fi Adab Hamalat Al-Quran, Al-Nawawi (Hlm. 87- 88)]

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa hukum membaca ayat al-Quran secara berulangkali di dalam solat adalah dibolehkan. Bahkan ia disunatkan sekiranya dilakukan dengan tujuan untuk lebih menghayati dan memaknai bacaan ayat tersebut di dalam solat. Kami juga menyebut bahawa perbuatan ini boleh dilakukan sama ada di dalam solat-solat fardhu dan juga solat-solat sunat.

Akhir kalam, semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media



Oh! Youtube


Sumber: Oh! Media