NR Sofea Juara Bola Sepak Piala YB Kemaman

Pasukan NR Sofea.
Oleh: Ahmad Ezani Razali

KEMAMAN, 16 September - Selepas menjuarai Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Piala YBC Tertutup DUN Chukai pada September lalu, NR Sofea sekali lagi membuktikan kehebatan pasukannya apabila berjaya merangkul kejuaraan Kejohanan Bola Sepak 11 Sebelah Piala YB Ahli Parlimen Kemaman, semalam.

NR Sofea yang mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai bergelar juara selepas berjaya menewaskan lawan daripada DUN Kijal iaitu pasukan Seri Bandi dengan jaringan 2-1 di dalam perlawanan akhir yang cukup mendebarkan dan berlangsung di Stadium Mak Chili, Kemaman.

Pengurus pasukannya, Nizap Alias mengucapkan terima kasih kepada penganjur, seluruh kru dan pemain pasukannya yang bertungkus lumus dalam menjayakan misi kejuaraan pada kali ini.


"Terima kasih juga diucapkan kepada ADUN Cukai, Hanafiah Mat yang menaja dan selalu menyokong sukan anak muda pada hari ini," ujarnya.

Tambahnya lagi, NR Sofea berjanji akan terus meningkatkan prestasi dan melakukan yang terbaik dalam kejohanan yang akan disertai selepas ini.

NR Sofea selaku juara membawa pulang wang tunai RM2,000, piala dan jersi manakala pasukan Seri Bandi yang menjadi naib juara pula membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta jersi.

Pasukan Kuala 48 (Cukai) dan Bukit Kuang (Kijal) masing-masing di tempat ketiga dan keempat membawa pulang wang tunai RM500 berserta jersi.

Hadiah disampaikan oleh Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Che Alias Hamid. NR Sofea dan pasukan Seri Bandi secara automatik layak mewakili Parlimen Kemaman ke Kejohanan Piala Menteri Besar (MB) Terengganu yang dijangkakan berlangsung pada Februari tahun hadapan.

Sumber: teganukita.net