Operasi Bersepadu LPT2 Catat Pengurangan Kemalangan Libatkan Haiwan Berkeliaran


Zakaria ketika ditemui UPDI dalam program De'Perasing Ride 2019.

HULU TERENGGANU, 16 November- Usaha bersepadu pihak Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) bersama pihak-pihak terlibat berjaya mengurangkan kes-kes kemalangan melibatkan kenderaan dengan haiwan berkeliaran.

Pengarah LPT2 Sdn Bhd, Zakaria Ahmad Zabidi memaklumkan, antara langkah yang diambil ialah operasi bersepadu bersama Jabatan Veterinar Malaysia, majlis-majlis daerah terlibat, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

"Bagi tahun 2019, jumlah kes melibatkan haiwan di LPT2 telah menurun secara drastik sehingga kepada 47 kes berbanding tahun lalu.

"Pencapaian yang positif ini adalah hasil perbincangan dan tindakan bersama. Walaupun memperlihatkan penurunan dalam kes dan kerosakan infrastruktur, kita akan terus memantau kawasan-kawasan 'panas' yang telah dikenal pasti," katanya.
Lebih 2,000 pelumba sertai De'Perasing Ride kali ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dalam program LPT2 De' Perasing Ride- Ajil Challenge di Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Ajil, hari ini.

Menurutnya, kemalangan melibatkan haiwan peliharaan berkeliaran sentiasa menjadi perhatian khusus pihak LPT2 kerana ia mengakibatkan kerosakan harta benda dan perkara lebih tragis, iaitu kehilangan nyawa.

"Sejak kami mengambil alih LPT2 bermula 2016, kami telah ambil pelbagai langkah untuk mengurangkan kes-kes yang melibatkan haiwan.

"Kita juga lakukan pemasangan pagar berlapis (double fence) untuk elak diceroboh haiwan dan mamasang konkrit bawah pagar sebagai langkah keselamatan," katanya.
Antara pemenang yang diraikan dalam kategori Road Bike.

Zakaria bagaimanapun menegaskan, beliau cuma memohon jasa baik dan kerjasama penduduk yang tinggal berdekatan supaya menjaga haiwan peliharaan mereka dengan baik jangan biar berkeliaran sehingga ke lebuhraya.

"Jangan rosakkan pagar, kerana ia akan menyebabkan haiwan masuk ke atas lebuhraya.
"Untuk makluman, punca utama haiwan masuk dan berkeliaran di lebuhraya adalah perbuatan vandalisme terhadap infrastruktur yang telah dibina pihak LPT2," katanya.

Sejak 2016 hingga 2019, syarikat berkenaan telah membelanjakan lebih RM5 juta untuk baik pulih kemudahan seperti menggantikan pagar baru fan membaiki semula pagar yang dipotong.





Sumber: teganukita.net