Pasar Malam bakal diwartakan sebagaikan zon larangan merokok


Kementerian Kesihatan sedia mempertimbangkan cadangan pelbagai pihak supaya menguatkuasakan zon larangan merokok di kawasan pasar malam tetapi  adalah sukar menguatkuasakannya dari segi undang-undang, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

"Ini disebabkan di kawasan (pasar malam) tidak ada 'sempadan sah di sisi undang-undang’ berbanding di premis makanan, bangunan kerajaan atau di IPT (institusi pengajian tinggi) yang mempunyai 'sempadan' yang jelas.

Sebagai contoh, apabila kita kuat kuasakan undang-undang (larangan merokok) di pasar malam tetapi mereka cabar kata ini bukan pasar malam, ini depan rumah mereka, jadi ada kesukaran untuk kita melaksanakannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Tahunan Saintifik Persatuan Onkologi Malaysia ke-31 di sini, hari ini.

Dr Lee berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan orang ramai yang meminta kerajaan mewartakan tempat larangan merokok di kawasan pasar malam.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mewartakan semua premis makanan sebagai tempat larangan merokok berkuat kuasa 1 Jan lepas dan tindakan undang-undang akan dikuatkuasakan serta merta pada 1 Jan tahun depan.

Mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan merokok di tempat larangan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Sumber: Bernama


Sumber : thereporter.my