Penguatkuasaan Car Seat: Kerajaan beri kelonggaran kepada keluarga punyai ramai anak kecil


Tindakan penguatkuasaan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) dalam setiap kereta persendirian berkuatkuasa 1 Jan hadapan dilakukan dengan mengambil pendekatan pendidikan dan nasihat serta bukannya tindakan keras terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan itu, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar.

Menegaskan bahawa kerajaan menyedari dan memahami kebimbangan ibu bapa terhadap penguatkuasaan penggunaan CRS itu, beliau berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memberi kelonggaran kepada keluarga yang mempunyai bilangan ramai anak kecil sehingga tiada ruang mencukupi bagi memasang kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan mereka.

“Kita sedar keluarga yang ada ramai anak dan tempat duduk tidak boleh memuatkan empat atau lima kerusi dalam kereta. Jadi keluarga besar akan diberi pengecualian sekiranya dalam sebuah kenderaan tersebut tidak membolehkan CRS dipasang dalam bilangan mengikut jumlah anak. Kelonggaran diberikan dalam pelaksanaan ini,” katanya dalam sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Kamarudin berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang mahu kerajaan mempertimbangkan penguatkuasaan CSR kepada keluarga mempunyai ramai anak serta kenderaan yang kecil.

Menjawab soalan asal Cha mengenai justifikasi kerajaan mewajibkan semua kanak-kanak yang ketinggiannya bawah 135 sentimeter (cm) supaya menggunakan CRS, Kamarudin berkata CRS direka khas untuk memberi pelindungan kepada kanak-kanak kerana mereka mempunyai tubuh badan yang masih di peringkat tumbesaran dengan struktur tulang yang masih belum matang.

Penggunaan CRS akan membolehkan tubuh badan kanak-kanak menahan daya hentaman daripada impak kemalangan dengan lebih sempurna berbanding sekiranya hanya menggunakan tali pinggang keledar sahaja.

“Had ketinggian 135cm dinyatakan dalam peraturan CRS kerana bagi kanak-kanak yang melebihi ketinggian ini mereka telah mempunyai saiz tubuh badan yang lebih sesuai untuk menggunakan tali pinggang keledar biasa yang sedia ada dalam keadaan selamat.

“Ini kerana tali pinggang keledar tiga point dalam kenderaan adalah direka untuk penumpang dewasa dengan ketinggian 135 cm ke atas,” katanya.

Sumber: Bernama


Sumber : thereporter.my