Polis pengiring trafik Najib ditarik balik, bekas pegawai khas mohon orang ramai beri laluan untuk mudahkan urusan Najib


Khidmat polis pengiring trafik bermotosikal untuk bekas perdana menteri Najib Razak, ditarik balik sejak 5 November lalu. 

Perkara itu dimaklumkan oleh bekas pegawai khas kepada Najib, Isham Jalil yang mendakwa kerajaan membatalkan perkhidmatan tersebut. 

"Saya telah dimaklumkan bahawa Kerajaan PH telah mengeluarkan notis 24 jam untuk membatalkan perkhidmatan polis pengiring trafik untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkuat kuasa serta-merta. 

"Tiada sebab atau alasan yang diberikan oleh kerajaan," tulisnya di Facebook berserta dengan gambar surat yang menyatakan perkara itu, ditujukan kepada Mohd Shahrir Mohd Aripin, Pegawai Khas Najib. 


Dalam pada itu, Isham menyeru rakyat yang masih menyokong Najib memberi laluan kepada Ahli Parlimen Pekan itu bagi memudahkan urusannya.

"Sekiranya anda penyokong Dato' Seri Najib, mohon berilah laluan kepada kenderaan Dato' Seri Najib untuk memudahkan urusan dan perjalanan beliau dalam berkhidmat untuk rakyat dan berkempen untuk BN untuk menyemak-imbang kerajaan," katanya. 

Pada Mei 2016, Ketua Polis Negara pada ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan khidmat pengiring trafik Tun Dr Mahathir Mohamad ditarik balik. 

Jelas Khalid, penarikan khidmat pengiring trafik itu dibuat ekoran tindakan Dr Mahathir yang menyertai perhimpunan BERSIH, perhimpunan bantah GST dan beberapa lagi sebab yang lain. 

"Saya telah menarik balik khidmat pengiring trafik untuk Tun Mahathir, itu adalah atas keputusan saya sebagai ketua polis negara. Apa guna kitam emberi iringan trafik kepada individu yang melanggar peruntukan undang-undang dan perlembagaan, kita tidak dapat menyokong apa juga perbuatan yang melanggar undang-undang negara," katanya. 



Sumber : thereporter.my