Potensi Ternakan Ikan Laga Hiasan Sebagai Sumber Ekonomi

Foto - Ahmad Syahid Adnan
Oleh: Khalid Abdullah

KEMAMAN, 11 November - Industri ternakan ikan laga hiasan mempunyai potensi untuk dimajukan sebagai sumber ekonomi yang lumayan khusus kepada anak muda tempatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, ikan laga yang dahulunya dilihat sebagai ikan picisan yang tidak berharga kini semakin rancak berkembang menjadi sebuah perniagaan dan industri selain mengubah kehidupan penggiatnya.

“Ikan laga hiasan atau dikenali sebagai 'betta fish' mempunyai ramai peminat tersendiri, tidak kira golongan tua atau generasi muda.

“Aktiviti ini sedang berkembang pesat di negeri-negeri lain dan saya bercadang menjadikan Kemasik sebagai pengeluar ikan laga berkualiti tinggi.


“Penternak dan pengusaha ikan laga hiasan perlu menghasilkan varieti bermutu tinggi memandangkan ia mempunyai permintaan memberangsangkan termasuk di peringkat antarabangsa.

"Kami sedia membantu dengan mengadakan latihan kepada penternak terbabit untuk menghasilkan ikan laga hiasan yang berkualiti,” katanya ketika mengunjungi komuniti penternak ikan tersebut di Kampung Baru, Kemasik di sini baru-baru ini.

Beliau juga memberitahu, Pusat Pengajian Sains Perikanan dan Akuakultur, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bersedia mengadakan kursus pendek berkaitan genetik ikan laga hiasan untuk membantu penternak muda di Kemasik.


Sementara itu, menyedari potensi ikan laga hiasan, seorang anak muda, Mohd Sallahuddin Al-Ayubi Mahadi, 26, menjadikan ikan berkenaan sebagai sumber pendapatan sampingannya.

Beliau berkata, ada peminat ikan laga tidak kisah mengenai harga ikan sebaliknya mereka sanggup membeli pada harga yang tinggi apabila berpuas hati dengan mutu dan ciri menarik yang terdapat pada ikan tersebut.

“Permintaan tinggi terhadap ikan laga menyebabkan saya banyak melakukan proses kacukan spesis ikan terbabit bagi mendapatkan baka lebih menarik dan ia mampu dijual dengan harga lebih mahal.

“Alhamdulillah ada kawan-kawan yang terlibat dalam ternakan ikan laga ini mendapat pulangan lumayan hingga melebihi empat angka setiap bulan berikutan minat dalam kalangan orang ramai semakin berkembang,” ujarnya lagi.

Seramai lebih 20 orang penternak ikan laga hiasan bergerak aktif di Kemasik dan mereka bernaung di bawah persatuan bernama Kemasik Betta.

Sumber: teganukita.net