RAK Siap Sedia Hadapi Tengkujuh


Oleh: Pyang Mamat

KEMAMAN, 3 November - Radio Amatur Kemaman (RAK) sudah bersiap sedia dari aspek komunikasi untuk menghadapi musim tengkujuh yang bakal tiba.

Persiapan awal dilakukan apabila ada laporan diterima yang menjangkakan bahawa taburan hujan yang luar biasa akan melanda bahagian Pantai Timur pada hujung tahun ini.

Timbalan Presiden RAK, Zawawi Mohamed berkata, pihaknya mula menggerakkan strategi dengan menaik taraf dan menguji alat penghantar gelombang komunikasi yang dipanggil 'repeater' atau pengulang bagi memudahkan sesuatu operasi dijalankan.

"Kami sudah mula mengatur, merancang dan menggerakkan apa yang sepatutnya dalam membantu masyarakat dari sudut komunikasi ketika banjir nanti.

"Kali ini kami akan menyediakan dua pengulang untuk diguna pakai iaitu Pengulang Gelombang Very High Frequency (VHF) dan Ultra High Frequency (UHF).


"Pengalaman banjir besar di Kemaman pada tahun 2013 mengajar kita bagaimana untuk mengurus suasana yang kelam kabut setelah semua bekalan elektrik terputus dengan izin Allah," ucap beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di puncak Bukit Ibok, Kijal di sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Kemaman bersyukur dan berterima kasih di atas segala sokongan dan sumbangan yang diterima daripada ahli RAK dan Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) terutama PAS Kawasan Kemaman.

Beliau juga berharap agar semua pihak mengadakan solat hajat dan berdoa semoga Allah mempermudahkan segala urusan banjir dan ianya dapat diuruskan dengan baik oleh semua pihak yang terlibat.

Sumber: teganukita.net