Sebutan Doa Selepas Tasyahhud Kurang Tepat, Adakah Membatalkan Solat?


SOALAN:
Sekiranya sebutan semasa membaca doa sebelum salam kurang tepat atau salah, adakah ianya termasuk dalam perkara “mengeluarkan suara selain bacaan dalam solat” yang merupakan salah satu perkara yang membatalkan solat?

JAWAPAN
Solat merupakan di antara ibadah yang paling utama bagi seorang Muslim. Ianya juga merupakan perkara pertama yang akan ditanya oleh Allah SWT kepada hamba-Nya di akhirat kelak berdasarkan hadith Nabi SAW:

إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ بِصَلَاتِهِ، فَإِنْ صَلَحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ
“Sesungguhnya perkara pertama yang akan dihisab dengannya oleh seorang hamba itu adalah solatnya. Jika sempurna (solatnya) maka dia akan beruntung dan berjaya. Namun, jika rosak solatnya maka dia binasa dan rugi.” [HR al-Nasa’ie (465)]


Solat yang sah dan sempurna adalah yang memenuhi rukun-rukun serta syarat-syaratnya.

Berdoa sebelum salam

Di antara waktu yang mustajab yang mana kita digalakkan berdoa padanya adalah pada penghujung solat. Ini adalah berdasarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah al-Bahili R.A bahawa Rasulullah SAW ditanyakan:

يَا رَسُولَ اللَّهِ أَىُّ الدُّعَاءِ أَسْمَعُ قَالَ جَوْفُ اللَّيْلِ الآخِرُ وَدُبُرَ الصَّلَوَاتِ الْمَكْتُوبَاتِ
“Wahai Rasulullah, doa apakah yang paling didengari?” Lalu kata Rasulullah SAW: “Di pertengahan malam dan pada penghujung solat fardhu.” [HR al-Tirmidzi (3499)]


Dalam hadis tersebut jelas menunjukan kepada kita bahawa di antara waktu yang mustajab padanya doa ialah pertengahan malam dan penghujung solat fardhu.

Penghujung solat bermaksud selepas tasyahhud dan sebelum salam sebagaimana yang telah dinukilkan oleh Ibnu Qayyim al-Jauziyyah bahawa gurunya telah memilih pandangan ini. [Lihat: Zad al-Ma‘ad fi Hadyi Khair al-‘Ibad (1/295)]

Imam al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadis-hadis berkenaan doa sebelum daripada memberi salam menyatakan bahawa dibenarkan bagi setiap orang yang mendirikan solat untuk berdoa dengan apa jua doa yang dikehendaki. [Lihat: Fath al-Bari (2/318)]

Berkata-kata di dalam solat

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, secara asasnya kita mengetahui bahawa berkata-kata ketika solat dengan selain daripada bacaan-bacaan di dalam solat boleh membawa kepada batalnya solat tersebut.

Syeikh Salim al-Hadrami telah menyenaraikan 14 perkara yang membatalkan solat, salah satu daripadanya ialah bercakap dengan dua huruf yang dapat difahami secara sengaja. [Lihat : al-Mujtaba fi Syarh Safinah al-Naja (Terj. PMWP), m/s: 152 ]

Larangan tersebut adalah berdasarkan hadis, daripada Zaid bin Arqam R.A, katanya:

كُنَّا نَتَكَلَّمُ فِى الصَّلاَةِ يُكَلِّمُ أَحَدُنَا أَخَاهُ فِى حَاجَتِهِ حَتَّى نَزَلَتْ هَذِهِ الآيَةُ (حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلاَةِ الْوُسْطَى وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ) فَأُمِرْنَا بِالسُّكُوتِ
“Kami pernah berbual-bual ketika menunaikan solat. Seorang daripada kami bercakap rakannya tentang keperluannya sehinggalah turun ayat yang maksudnya: Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardhu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyu’ lalu kami diperintahkan diam.” [Riwayat al-Bukhari (4260) dan Muslim (539)]


Di dalam al-Fiqh al-Manhaji menyatakan bahawa kata-kata yang dimaksudkan ialah kata-kata yang lain selain daripada al-Quran, zikir dan doa. Kata-kata tersebut dianggap membatalkan solat sekiranya mengandungi dua huruf dan lebih walaupun tidak memberi apa-apa pengertian. Begitu juga satu huruf tetapi ia mempunyai makna seperti qi (قِ) yang bererti peliharalah, `ie (عِ) yang bererti sedarlah, dan fi (فِ) yang bererti tunaikanlah.

Walau bagaimanapun, jika berkata-kata ketika sedang solat kerana terlupa atau tidak mengetahui tentang keharamannya disebabkan baru memeluk Islam, kedua-duanya dimaafkan sekiranya kata-kata tersebut sedikit, dan tidak melebihi enam perkataan. [Lihat : al-Fiqh al-Manhaji (1/167-168)]

Kesimpulan

Setelah kami meneliti dalil-dalil yang dikemukakan, kami berpendapat bahawa berdoa sebelum memberi salam tidak termasuk di dalam perkara-perkara yang membatalkan solat. Malah, ianya merupakan antara tempat yang digalakan untuk berdoa berdasarkan hadis Nabi SAW.

Adapun kesilapan di dalam sebutan ketika berdoa tidaklah sampai kepada membatalkan solat kerana ianya tidak termasuk di dalam perkara-perkara rukun solat. Namun, kami menasihati agar perbaikilah bacaan doa dan sebutannya yang betul mengikut kaedah bahasa Arab, supaya maksud doa tersebut tercapai.

Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam mengamalkan doa-doa yang diajar oleh Nabi SAW.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media



Oh! Youtube


Sumber: Oh! Media