Semua Nabi Berada Di Bawah Panji Rasulullah SAW

Posted on Friday, November 15, 2019 | 11/15/2019



SOALAN:
Apakah benar di hari Akhirat kelak semua Nabi-Nabi akan berada di bawah panji Nabi Muhammad SAW?

JAWAPAN:
Hari Akhirat merupakan tempat semua manusia akan dihisab oleh Allah SWT berdasarkan kepada amalan mereka sewaktu di dunia. Firman Allah SWT:

أُولَـٰئِكَ لَهُمْ نَصِيبٌ مِّمَّا كَسَبُوا ۚ وَاللَّـهُ سَرِيعُ الْحِسَابِ
“Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan dan Allah amat cepat perhitungan-Nya.” (Al-Baqarah: 202)

Menurut Imam Abu Hatim sebagaimana yang dinukilkan oleh Atha’ yang dimaksudkan oleh ayat ini ialah balasan daripada kebaikan yang dilakukan (sewaktu di dunia). [Lihat: al-Dur al-Manthur, 1/561]

Di dalam hadith ada dinyatakan bahawa Nabi SAW akan membawa panji-panji kepujian di hari Akhirat kelak. Ini merupakan kelebihan yang diberikan kepada makhluk yang paling mulia iaitu Rasulullah SAW. Daripada Abu Said RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَبِيَدِي لِوَاءُ الحَمْدِ وَلَا فَخْرَ
“Di tanganku akan berada panji kepujian (di hari Akhirat) dan ini bukan untuk membangga-bangga.” [Riwayat al-Tirmidzi (3615), Imam al-Tirmidzi menilai hadith ini sebagai hasan]

Berdasarkan soalan di atas, terdapat hadith yang sahih dalam hal ini yang mana kesemua para Nabi bermula daripada Nabi Adam A.S akan berada di bawah panji Nabi Muhammad SAW. Hadith tersebut diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya.

Daripada Ibn Abbas R.anhuma berkata ketika beliau berkhutbah di atas mimbar, bahawa Nabi SAW bersabda:

آدَمُ فَمَنْ دُونَهُ تَحْتَ لِوَائِي
“Nabi Adam dan orang-orang yang datang selepas daripadanya akan berada di bawah panjiku (di hari Akhirat).” [Riwayat Ahmad (2546), Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini adalah hasan li ghairihi. Manakala Syeikh Ahmad Syakir menilai sanad hadith ini adalah sahih]

Tambahan pula, Imam al-Tirmidzi juga ada meriwayatkan bahawa di hari Akhirat kelak kesemua para Nabi akan berada di bawah panji Nabi Muhammad SAW. Daripada Abu Said RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَمَا مِنْ نَبِيٍّ يَوْمَئِذٍ آدَمُ فَمَنْ سِوَاهُ إِلَّا تَحْتَ لِوَائِي
“Dan tidak Nabi pada saat itu termasuk Nabi Adam dan selain daripadanya melainkan (kesemuanya) akan berada di bawah panjiku.” [Riwayat al-Tirmidzi (3615), Imam al-Tirmidzi menilai hadith ini sebagai hasan]

Imam Iz al-Din bin Abdul Salam berkata di dalam kitabnya bahawa hadith ini di menunjukkan akan ketinggian martabat Baginda SAW berbanding Nabi Adam A.S dan selain daripada Nabi Adam A.S. Untuk itu, tidak ada makna pada kelebihan itu melainkan pengkhususan pada kedudukan dan juga ketinggian martabat. [Lihat: Bidayah al-Sul, 49]

Penutup

Kesimpulannya, sememangnya terdapat hadith yang sahih bahawa di Akhirat kelak Nabi SAW akan membawa panji kepujian dan semua para Nabi akan berada dibawah panji tersebut. Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita dibawah orang-orang yang berada di bawah panji yang dibawa oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Amin.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 11/15/2019

0 comments:

Loading...