'Student lain sujud syukur selepas habis SPM, korang remp motor kat jalan' - 13 BBNU ditahan, tempa nama dalam rekod polis


Polis menahan sekumpulan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang meraikan hari terakhir peperiksaan dengan menunggang motosikal sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain di Klebang, Melaka. 

Kumpulan terbabit bukan hanya sekadar berkumpul, malah membuat bising dan melakukan aksi-aksi berbahaya. 

Ketua Jabatan Siasatan dan Pengangkutan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, seramai 13 remaja berusia antara 16 hingga 17 tahun ditahan untuk siasatan dan diambil keterangan sebelum dibebaskan. 

17 saman juga dikeluarkan terhadap penunggang motosikal terbabit selepas mendapati mereka melakukan kesalahan trafik seperti tiada nombor pendaftaran, tiada lesen memandu, tidak patuh tunjuk arah trafik serta tidak memakai topi keledar. 

Kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Batang Tiga dan disiasat mengikut Akta Kesalahan Lalu Lintas. 


Video kejadian itu turut viral di media sosial menunjukkan sekumpulan remaja yang masih di bawah tanggungan ibu bapa itu melakukan perbuatan yang tidak senonoh dan memalukan keturunan mereka. 




Netizen mengecam tindakan mereka yang terlibat itu sebagai perbuatan yang tidak bertamadun, berbanding kebanyakan calon SPM di sekolah lain yang memilih untuk sujud syukur selepas selesai peperiksaan SPM. 



Sumber : thereporter.my