Sudah kenal pasti pengganti pemain import baharu

Posted on Wednesday, November 06, 2019 | 11/06/2019



Kuala Terengganu : PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain sudah mengenal pasti penyerang dari Afrika, Eropah dan Amerika Selatan bagi menggantikan bekas penyerang sensasi dari Ivory Coast, Kipre Tchetche dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Selain itu, Nafuzi juga kini sedang mengintai pemain dari Indonesia, Vietnam dan Singapura bagi kuota Asean untuk mengisi kekosongan pemain import dari Kemboja, Thierry Chantha Bin yang turut digugurkan.

"Proses mendapatkan pemain import berjalan lancar dan kami sedang mengenal pasti calon terbaik menggantikan tempat Tchetche dan juga pemain lain yang sudah tidak lagi bersama kami.

"Sesi pemilihan (pemain import) akan dijalankan dalam masa terdekat untuk kami segera mempersiapkan skuad lengkap bagi menjalani latihan dan aksi pramusim bulan depan,” ujar Nafuzi yang turut bangga dengan prestasi dipamerkan pasukannya yang berjaya menjulang trofi Piala Kelab Antarabangsa Sheikh Kamal di Bangladesh akhir bulan lalu.

Sebelum ini, PBSNT mengumumkan hanya pemain berdarah campuran England-Malaysia, Lee Tuck dan pemain kelahiran Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov dikekalkan dalam skuad itu musim depan.

Selain itu, PBSNT turut menggugurkan 12 pemain tempatan termasuk bekas penjaga gol utama, Wan Muhamad Azraie Wan Teh dan penyerang lincah, Malik Mat Ariff.

Nafuzi yang baharu dinaikkan 'pangkat' selaku ketua jurulatih TFC menyatakan beliau akan memberi peluang lebih ramai pemain muda berbakat daripada pasukan Piala Presiden dan Piala Belia untuk membarisi skuad TFC musim depan. - Harian Metro
Blog, Updated at: 11/06/2019

0 comments:

Loading...