Tanda positif pemain muda Terengganu FC - Lee Tuck


KEJAYAAN merangkul trofi dalam Kejohanan Kelab Antarabangsa Sheikh Kamal di Chittagong, Bangladesh edisi ketiga kelmarin memberi petanda positif buat skuad Terengganu FC (TFC) dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Kapten TFC, Lee Tuck mengakui gembira dengan prestasi rakan sepasukan dalam kejohanan itu walaupun ketua jurulatih, Nafuzi Zain tidak membawa kesebelasan utama pasukan.

"Saya begitu gembira apabila bergelar juara kerana bukan senang untuk bermain menentang pasukan terbaik dari lima negara lain termasuk India dan Bangladesh dalam kejohanan jemputan itu.

"Kami tetap beraksi dengan baik dan tidak menganggap ia sebagai sesi pemanas badan sebelum bermulanya liga tahun depan kerana kami datang dengan misi untuk menimba pengalaman dan menikmati jelajah ini dengan permainan menarik.

"Kami bermain lima perlawanan dalam tempoh sembilan hari, jadi kami perlu kekalkan kekuatan mental dan fizikal kami.

“Kejayaan ini jelas menunjukkan betapa Liga M mempunyai kualitinya yang tersendiri kerana kami bukan hanya mewakili Terengganu tetapi Malaysia," katanya.

Dalam kejohanan itu, pemain berdarah campuran England-Malaysia itu meraih dua gelaran termasuk penjaring terbanyak kejohanan dengan meledak enam gol dan pemain terbaik kejohanan.

Sebanyak lima negara menyertai kejohanan itu antaranya Malaysia, India, Laos, Maldives serta tuan rumah, Bangladesh.

Pada perlawanan akhir, TFC menumpaskan pasukan tuan rumah, Abahoni Limited 2-1 hasil jaringan pemain muda meningkat naik, Hairiey Hakim Mamat dan Azalinullah Alias. - Berita Harian