Terengganu Kekal Agih Zakat Kepada Islam Sahaja - MB

Ahmad Samsuri.
KUALA TERENGGANU, 9 November - Kerajaan Terengganu terus kekal dengan pendirian untuk memberikan bantuan zakat kepada lapan golongan asnaf sahaja dan tidak melibatkan orang bukan Islam.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan, agihan kepada kelompok itu adalah mengikut ketetapan dan amalan yang telah dilaksanakan sebelum ini.

"Tiada perubahan. Kita mengekalkan agihan zakat yang sama sebelum ini iaitu kepada lapan golongan asnaf yang ada, tidak kepada pihak-pihak yang lain," ujarnya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Terengganu di Stadium Negeri di sini hari ini.

Berdasarkan rekod, lapan golongan asnaf yang ditetapkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) ialah fakir, miskin, amil, mualaf, riqab (seseorang yang terbelenggu tanpa kebebasan), gharimin (penghutang Muslim), fisabilillah (orang yang berjuang kerana ALLAH) dan ibnu sabil (musafir).

Kenyataan Ahmad Samsuri adalah senada dengan penjelasan Mufti Terengganu, Dato' Dr Zulkifly Muda memaklumkan, tiada fatwa di negeri itu yang meluluskan supaya zakat diagihkan kepada golongan bukan Islam.

Katanya, beliau tidak bersetuju zakat diberikan orang bukan Islam kerana zakat dikaitkan dengan ibadat dan ia mempunyai kesuciannya tersendiri.

"Sehingga ada ulama yang kata diberikan kepada orang tidak solat pun tidak dibenarkan, apatah lagi kepada orang bukan Islam," ujarnya kepada Ismaweb.net pada 2 November lalu.


Menurut Zulkifly, kebanyakan ulama berpendapat bahawa agihan zakat hanya perlu diagihkan kepada umat Islam serta tidak membenarkan ia diberi kepada bukan Islam.

"Pengagihan zakat kepada bukan Islam bertentangan dengan undang-undang zakat.

"Jadi, ia harus dilaksanakan berteraskan undang-undang ibadat itu kerana zakat mempunyai kesucian tersendiri," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau juga berkata, namun terdapat juga ulama mengatakan bahawa zakat hanya boleh diagihkan kepada bukan Islam, sekiranya mereka diyakini akan memeluk Islam.

"Oleh itu, dakwah kita terhadap bukan Islam secara langsung akan sampai kepada mereka," katanya.

Baru-baru ini timbul satu pandangan yang mahu agihan zakat turut disalurkan kepada golongan bukan Islam.

Pandangan itu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan agamawan dan masyarakat, termasuk daripada Mufti Perlis dan Sabah, Dato' Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Dato' Bungsu Aziz Jaafar yang bersetuju golongan bukan Muslim di negeri itu harus menerima wang zakat.

Manakala, Perak dan Selangor belum berhasrat untuk mengeluarkan wang zakat kepada bukan Muslim kerana masih banyak orang Islam di negeri itu perlu dibantu menerusi kutipan wang berkenaan.


Sumber: teganukita.net