Terengganu Mahu Lahir Pendakwah Wanita

Posted on Sunday, November 03, 2019 | 11/03/2019


Muhammad Ramlan Hj Mahmood.
KUALA NERUS, 3 November - Kerajaan Negeri Terengganu berhasrat melahirkan dai muslimah seramai mungkin yang terdiri daripada wanita kelahiran negeri itu sendiri.

Pengarah Akademi DIDIK ULAMA AMILIN Terengganu (DUAT), Muhammad Ramlan Mahmood berkata, di bawah kepimpinan Menteri Besar, DUAT ingin melahirkan dai selebriti yang mampu membantu kerajaan negeri membawa syiar Islam secara 'syumul' (menyeluruh) dengan 'uslub' (kaedah) dakwah yang menarik.

Jelasnya, dalam masa yang sama, DUAT juga berusaha menjadi model terbaik buat negeri-negeri yang lain dalam penghasilan dai-dai yang berkarisma ke arah membawa masyarakat mengenal Allah.

"Jadi harapan kita buat semua dai muslimah cukup besar. Kami akan terus adakan program secara berkala sehingga mereka layak digelar dai muslimah solehah," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Pemikiran Daie Muslimah Solehah Terengganu 2019 anjuran Akademi DUAT dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita bertempat di Quinara Al-Safir Resort di sini semalam.

Turut hadir ADUN Wanita, Zuraida Md Nor dan Pengerusi Mawaddah, To' Puan Hajah Zarani Othman.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri berusaha memberi ruang dan peluang buat para pendakwah wanita di Terengganu menggilap ilmu dakwah sesuai dengan kehendak semasa.

"Untuk itu, saya ucapkan sekalung terima kasih buat semua termasuk ADUN Wanita, Pertubuhan Mawaddah dan Hanees di atas segala curahan idea dan kerjasama yang baik dalam menjayakan seminar yang diadakan ini," ujarnya.

Sumber: teganukita.net
Blog, Updated at: 11/03/2019

0 comments:

Loading...