Terengganu Terus Promosi Makanan Tradisi Ke Serata Dunia

Selebriti dakwah, Syed Nor Hisham (dua dari kiri)  turut bersama Wan Sukairi (dua dari kanan).

SUBANG JAYA, 15 November - Kerajaan negeri melalui Terengganu Kitchen Sdn Bhd (T-Kitchen) terus mencongak strategi terbaik bagi memperkenalkan makanan tradisi negeri itu seperti nasi dagang ke serata dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, walaupun sudah berjaya menembusi pasaran antarabangsa sebelum ini, pihaknya tetap mahu mengangkat produk Terengganu ke peringkat lebih tinggi.

"Kita mahu berkongsi kelebihan-kelebihan makanan tradisi ini dengan semua rakyat, sama ada rakyat negara ini atau negara luar.

"Maka kita akan terus berusaha dan bersungguh-sungguh untuk mencapai impian tersebut walaupun T-Kitchen merupakan syarikat baharu yang ditubuhkan pada tahun 2016," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Produk T-Kitchen anjuran Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU) di sini hari ini.

Pelbagai jenis produk sejuk beku dimport khas dari Terengganu.

Sementara itu, Pengurus Besar T-Kitchen, Ahmad Bukhori Ghazali yang hadir sama memaklumkan, pihaknya meletakkan visi untuk menjadi pengeluar makanan halal di Asia menjelang tahun 2024.

"Sebab itu, dalam tempoh lima tahun ini kita akan pastikan setiap tahun akan ada tiga negara luar yang kita kunjungi selain di Malaysia sendiri.

"Ia bagi memastikan pengukuhan produk kita dengan negara terbabit sentiasa berjalan, kita mulakan tahun depan dengan melawat Arab Saudi, Thailand dan Jepun," jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata hubungan dengan tiga negara terbabit akan terus diperkemas dari semasa ke semasa.

"Rundingan sedang berjalan dengan syarikat Arab Saudi bagi membeli makanan sejuk beku daripada T-Kitchen untuk jemaah haji dan umrah tahun depan.

Orang ramai teruja dapat menikmati makanan asli Terengganu.

"Kita juga ada hubungan bersama Thailand, sebuah kilang di Pattani sedang giat mengedar barangan T-Kitchen ke Jepun.

"Manakala pertemuan dengan syarikat Jepun bulan lepas berjaya menarik minat mereka untuk memproses dan menghasilkan makanan Jepun di kilang T-Kitchen, Chendering," tambah beliau.

Untuk rekod, makanan tradisi Terengganu dihasilkan dalam bentuk sejuk beku oleh T-Kitchen dan telah banyak diedarkan ke serata dunia sejak ia ditubuhkan pada 2016.



Sumber: teganukita.net