TFC diam-diam ubi berisi, Lee Tuck import terbaik dalam Negara - TMJ


Terengganu Football Club (Terengganu FC) boleh diumpamakan diam-diam ubi berisi dalam melakukan transformasi untuk menjadikan mereka sebuah kelab bola sepak moden yang profesional.

Perkara itu diungkapkan oleh pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Mahkota Ismail ibni Sultan Ibrahim menerusi satu video yang dikongsikan oleh laman sosial, Johor Southern Tigers, semalam.

Baginda yang juga Pemangku Raja memuji pihak pengurusan skuad berkenaan dalam meletakkan kepentingan utama dalam bola sepak, fokus kepada projeknya sendiri, mempunyai pelan perancangan yang objektif serta realistik berdasarkan kemampuan kewangan dan kepakaran yang dimiliki.

Paling disukai oleh Tunku Ismail adalah keputusan Terengganu FC mengadakan kerjasama bersama Malaysian Football League (MFL) bagi menaik taraf padang bola sepak di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).

“Saya suka melihat apa yang Terengganu FC buat, mereka lakukan dengan senyap, mengikut kemampuan mereka dan mengikuti perancangan mereka sendiri secara perlahan-lahan,”

“Dan mereka melabur dalam perkara yang paling penting. Apa yang Terengganu FC laburkan? Padang bola sepak.” kata Tunku Mahkota Ismail.

Antara aspek yang dibaik pulih adalah memperbaiki sistem saliran, meratakan permukaan padang dan meningkatkan kualiti permukaan dengan menggunakan rumput jenis Bermuda Princess 77.

Menurut makluman Terengganu FC, stadium berkapasiti 50,000 tempat duduk ini akan menjadi gelanggang utama buat skuad kendalian Nafuzi Zain bagi mengharungi kempen Liga Malaysia 2020 bermula februari depan.

Sementara itu, dalam menjadikan mereka ke arah kelab bola sepak profesional, Terengganu FC turut merancang untuk menaiktaraf pusat latihan. Perkara ini juga akan dilakukan dengan kerjasama MFL pada masa akan datang.



DYAM Tunku Mahkota Ismail ibni Sultan Ibrahim mengakui amat mengagumi kapten pasukan Terengganu Football Club (TFC), Lee Tuck.

Menurut pendapat peribadi baginda, Lee Tuck merupakan pemain import terbaik dalam kancah Liga Malaysia sejak menyertai pasukan berpengkalan di pantai timur itu pada tahun 2018 lalu.

Paling menarik perhatian Tunku Ismail yang juga Pemangku Raja adalah sikap profesional yang ditampilkan oleh pemain kacukan England-Malaysia itu tanpa mengira keadaan pasukannya mencatatkan kemenangan mahupun tewas dalam mana-mana perlawanan.

“Lihat kapten Terengganu FC, Lee Tuck, saya amat menghormati pemain ini. Kenapa? Sebab dia seorang yang amat profesional, dia seorang yang berterus-terang,”

“Bagi saya, dia merupakan pemain import terbaik dalam negara daripada aspek disiplin dan prestasi. Pada masa yang sama, dia hanya menumpukan kepada (pasukan) mereka sahaja. Tiada provokasi.” kata Tunku Mahkota Ismail menerusi satu video yang dimuat naik oleh Johor Southern Tigers, semalam.

Lee Tuck antara tonggak penting yang memacu TFC mara ke saingan akhir Piala Malaysia 2018. Malah beliau turut merekodkan satu ‘assist’ kepada Tchetche Kipre semasa bertemu JDT pada aksi timbal balik Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin.

Musim ini, Lee Tuck meneruskan kecemerlangannya bersama skuad TFC dengan meletakkan namanya selaku penyumbang ‘assist’ terbanyak dalam saingan Liga Super 2019 dengan rekod sebanyak 8 ‘assist’.

Selain daripada mengagumi Lee Tuck, Tunku Mahkota Ismail turut memuji saingan yang diberikan oleh skuad Hitam Putih ini apabila turun menentang skuad Harimau Selatan dalam tempoh dua musim terakhir ini.

“Apabila menentang Terengganu FC, memang sukar. Dia memang mempunyai rekod baik dengan JDT dan mengenepikan kita daripada Piala Malaysia musim lepas.” tambahnya lagi. - Foxsports.my