'Video itu palsu, tiada kena mengena dengan perlawanan Harimau Malaya vs Garuda' - Syed Saddiq


Selepas Indonesia tewas kepada Malaysia 2-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil 19 November lalu, viral di media sosial kononnya penyokong Indonesia dibelasah oleh penyokong Malaysia di luar perkarangan stadium. 

Berdasarkan video tersebut, mangsa dikatakan patah hidung dan pecah bibir akibat dibelasah beramai-ramai. 

Panas hati melihat video viral itu, netizen dari Indonesia menuntut pihak Kerajaan Malaysia membuat permohonan maaf kepada mereka sebagaimana Menteri Belia dan Sukan sebelum ini menuntut permohonan maaf dari Indonesia berhubung kecederaan penyokong Malaysia di negara itu sebelum ini. 

Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam kenyataannya semalam mengatakan video viral itu adalah palsu dan meminta orang ramai khususnya warga Indonesia tidak percaya dengan fitnah itu. 

Jelas Syed Saddiq, video itu tiada kena mengena dengan perlawanan 19 November lalu dan satu laporan polis telah dibuat berhubung video fitnah itu yang dipercayai sengaja dilakukan bagi mengeruhkan hubungan di antara dua negara. 

Pihak Kementerian Pemuda dan Olahraga Republik Indonesia juga telah dimaklumkan dan mengesahkan video itu adalah palsu. 

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, insiden tersebut tidak berlaku di sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil. 

Pihak polis kini sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menjalankan siasatan.

Mangsa yang terbabit dalam kejadian itu juga diminta tampil membuat laporan polis untuk membantu siasatan. 

Sumber: Harian Metro


Sumber : thereporter.my