Was-Was Sama Ada Terpijak Najis Anjing Atau Haiwan Lain


SOALAN:
Saya mengalami was-was agak teruk, saya ada terpijak najis dan tidak diketahui najis apa. Kemungkinan najis anjing, adakah perlu sertu? Saya bimbang amalan saya tidak diterima Allah.

JAWAPAN:
Sekiranya najis yang dipijak hanya terkena pada bahagian bawah tapak kasut mahupun selipar, maka tidak perlu dibasuh, hanya memadai bersentuh dengan tanah. Hal tersebut termasuk dalam perkara yang sukar dielakkan (umum al-balwa) iaitu sesuatu yang sudah menjadi umum atau biasa berlaku. Tambahan pula, kasut mahupun selipar yang sentiasa digunakan seharian boleh disucikan secara tidak langsung apabila terkena padanya tanah, air mahupun rumput. Tapak kasut atau selipar yang disapu pada tanah dapat menyucikannya. Hal ini berdasarkan riwayat Abu Sa’id al-Khudri R.A, Rasullulah SAW bersabda:

إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْمَسْجِدِ فَلْيَنْظُرْ : فَإِنْ رَأَى فِي نَعْلَيْهِ قَذَرًا أَوْ أَذًى فَلْيَمْسَحْهُ وَلْيُصَلِّ فِيهِمَا
“Apabila seseorang daripada kamu datang ke masjid, maka lihatlah jika ada kotoran atau najis pada kasutnya. Jika ada, maka hendaklah disapunya (dengan tanah) dan dibolehkan bersolat dengan memakai kasut itu.” [Riwayat Abu Daud (650)]

Ibn Ruslan berkata: “Perkataan ‘الْأَذَى’ pada bahasa iaitu yang keji dan kotor sama ada ia bersih atau najis.” (Lihat Syarh Sunan Abi Daud, 3/72)

Hadis tersebut menunjukkan sapuan selipar atau sepatu pada tanah boleh menyucikannya daripada kotoran. Dan yang zahir pada kedua-duanya adalah dengan maksud najis, sama ada najis bersifat basah atau kering. (Lihat Subul al-Salam, 1/137)

Ibn Malik ketika mensyarahkan hadith dengan menyatakan bahawa:

أن النعل إذا أصابته نجاسة ، فمسحت بالأرض حتى ذهب أثرها، جازت الصلاة فيه
“Sesungguhnya sekiranya kasut terkena najis, kemudian dihilangkan dengan disapu oleh tanah sehingga hilang kesannya, maka diharuskan solat dengannya.” (Lihat Syarh Masabih al-Sunnah, 1:457)

Maka difahami tapak kasut yang terkena najis yang nyata akan hilang kesannya dengan sebab disapu oleh tanah.

Namun persoalan terpijak najis anjing akan menjadi isu sekiranya najis yang dipijak terkena pada kulit kaki, anggota mahupun pakaian. Lantaran itu, kami akan merungkaikan persoalan berikut dengan mengemukakan dalil tentang pensabitan najis mughallazah yang perlu dibasuh, serta solusi terhadap perkara tidak pasti sehingga menimbulkan keraguan.

Majoriti ulama' telah sepakat menyatakan anjing sebagai najis (Lihat: al-Wajiz fi Fiqh al-Islami, Wahbah al-Zuhaili (1/35)

Anjing dikategorikan sebagai najis mughallazah kerana cara basuhan najis anjing lebih berat daripada najis lain sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ
“Sucinya bekas salah seorang dari kamu apabila seekor anjing menjilat padanya (bekas tersebut) adalah dengan cara kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali, dan basuhan pertama bercampur dengan tanah.” [Riwayat Muslim (279)]

Begitu juga berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

إِذَا شَرِبَ الكَلْبُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْسِلْهُ سَبْعًا
“Apabila seekor anjing minum di dalam bekas salah seorang kami, maka hendaklah kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali basuhan.” [Riwayat al-Bukhari (172)]

Berdasarkan mafhum kedua-dua riwayat hadis menunjukkan bahawa jilatan anjing itu merupakan suatu najis yang perlu dibasuh. Perintah membersihkan bekas yang dijilat anjing membawa kepada kewajipan perkara tersebut. Maka, sabit kenajisan mulut anjing itu, sedangkan ia (mulut anjing) adalah bahagian paling bersih daripada anggota badannya. Maka selain darinya (mulut) adalah lebih utama (untuk dianggap sebagai najis). [Rujuk al-Iqna’, Al-Khatib al-Syarbini (1/105)]

Oleh itu, kefahaman riwayat hadis tersebut sekiranya jilatan anjing itu merupakan suatu kotoran dan perlu dibasuh, apatah lagi najis daripada anjing yang lebih jelas kekotorannya. Sehubungan itu, terpijak najis mughallazah anjing lalu terkena bahagian kulit badan mahupun pakaian maka perlu dibasuh dengan air bercampur tanah sekali dan air mutlak enam kali.

Merujuk mazhab Syafie, setiap inci bagi seekor anjing itu adalah dikira sebagai najis. Sepertimana yang dikatakan oleh Imam al-Nawawi: “Ketahuilah, tidak ada perbezaan di kalangan kami antara jilatan anjing dengan selainnya, daripada anggota-anggota anjing. Apabila terkena kencingnya, najisnya, darahnya, peluhnya, bulunya, air liurnya atau mana-mana anggota dari anggota badannya yang bersih ketika ia sedang berada pada keadaan apa sekalipun, maka wajib membasuhnya dengan tujuh kali basuhan dan salah satu daripadanya adalah tanah.” [Rujuk al-Minhaj bi Sharh Sahih Muslim, (m/s 185)]

Seterusnya, sesuatu keraguan terhadap perkara yang masih tidak pasti sama ada terpijak najis anjing mahupun najis haiwan lain lalu terkena pada kulit kaki. Sekiranya perkara tersebut pada peringkat syak, maka hendaklah diabaikan syak-wasangka tersebut tanpa perlu menyertu. Hal ini kerana perkara yang dzon tidak memberi apa-apa kesan terhadap satu keyakinan. Firman Allah SWT:

وَإِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا
“Padahal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad).” (Surah al-Najm: 28)

Daripada Hasan bin Ali R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ
“Tinggallah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan. Maka sesungguhnya kebenaran itu adalah satu ketenangan dan sesungguhnya dusta itu adalah satu keraguan.”

Selain itu, kaedah yang bertepatan tentang syak menyebutkan bahawa:

شك لا يبنى عليه حكم
“Hukum tidak akan terbina ke atas perkara syak.”

Kesimpulan

Secara tuntasnya, kami berpendapat bahawa solusi terhadap situasi tidak pasti najis yang dipijak daripada anjing ataupun tidak, lalu terkena pada kulit kaki. Maka, perkara tersebut hanya disyaki sahaja kerana bukan sesuatu benar-benar pasti tanpa melihat dengan mata kepala sendiri najis daripada anjing. Oleh yang demikian, hendaklah meninggalkan perasaan syak-wasangka tersebut tanpa perlu menyertu. Sesungguhnya Allah SWT tidak memberatkan seseorang hamba-Nya daripada syariat yang telah ditetapkan oleh-Nya. Firman Allah SWT:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
“Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.” (Surah al-Hajj: 78)

Sebaliknya sekiranya yakin bahawa najis yang dipijak daripada anjing lalu terkena pada kulit kaki dan melihat dengan mata kepala sendiri najis daripada anjing, maka perlu dibasuh dengan air bercampur tanah sekali dan air mutlak enam kali.

Akhir sekali, marilah kita mohon semoga Allah SWT menerima amalan kita serta memberikan taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syariat-Nya dengan sebaiknya.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Sumber: Oh! Media