Waspada Hadapi Bencana Banjir - MB Terengganu

Ahmad Samsuri.

KUALA TERENGGANU, 30 November - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menasihatkan rakyat terjejas banjir di negeri ini supaya lebih berhati-hati dan sentiasa mengamalkan sikap berwaspada dalam menghadapi bencana yang melanda.

Beliau berkata, bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku, orang ramai perlu sentiasa mengikut arahan dan perkembangan semasa banjir yang dikeluarkan pihak berkuasa.

"Tingkatkan waspada dan patuhi segala arahan pihak berkuasa semasa bencana banjir ini melanda," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, semua rakyat diminta meningkatkan keselamatan diri serta keluarga sama ada daripada ancaman banjir, binatang liar dan juga peralatan elektrik yang mungkin boleh menyebabkan berlaku litar pintas.

"Simpan nombor-nombor dan dokumen-dokumen penting untuk memudahkan anda sekiranya diperlukan berpindah ke tempat lain.

"Termasuk simpanan makanan kering sebagai langkah berjaga-jaga di masa hadapan," katanya.

Tambah beliau, rakyat juga dinasihatkan agar tidak mengambil dan menyebarkan sebarang maklumat daripada sesiapa sahaja tanpa disahkan oleh pihak berkuasa.

"Perkara itu dibimbangi akan menimbulkan suasana panik dalam kalangan masyarakat,
Semoga kita semua dilindungi Allah sentiasa," tegasnya.



Sumber: teganukita.net