Banjir Di DUN Kota Putera Masih Terkawal


BESUT, 1 Disember - Banjir yang berlaku di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera masih terkawal walaupun paras air meningkat.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, kebanyakan kawasan yang dilanda banjir berkenaan adalah penempatan rendah dan berhampiran dengan sungai.

"Setakat ini hanya dua penempatan pusat pemindahan sementara yang dibuka iaitu di  Kampung Pinang dan Kampung Raja," katanya.

Beliau yang juga ADUN Kota Putera
berkata demikian ketika ditemui pihak media di sini, semalam.


Nurkhuzaini mengingatkan kepada para ibu bapa agar menantau anak-anak bagi menjaga  keselamatan ketika banjir kerana apa-apa musibah boleh berlaku.

"Penduduk perlu pindah ke kawasan lebih selamat jika paras air naik mendadak untuk mengelakkan berlaku insiden buruk yang menjejaskan keselamatan penduduk.

“Ini kerana jika berlaku hujan tidak hairan keadaan banjir akan berubah dan air kemungkinan akan naik lebih tinggi,” jelasnya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa banjir dengan kerjasama agensi seperti Bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), NADMA dan agensi-agensi lain yang telah bertungkus-lumus dalam memastikan kebajikan mangsa terjaga dari segi penempatan, makanan, perubatan dan sebagainya mencukupi.

Justeru, penduduk yang menetap di kawasan rendah dan pernah dilanda banjir dikehendaki mengambil langkah lebih waspada.

Sumber: teganukita.net