Mangsa Banjir Meningkat Di DUN Buluh Gading


Oleh : Mohd Haniff Abas

KUALA NERUS, 4 Disember - Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Banggol Peradong kini dibuka berikutan peningkatan mangsa banjir dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, Sehingga jam 7 pagi ini, seramai 371 orang dari 94 keluarga telah mendaftar untuk berpindah yang melibatkan 12  buah kampung.

“Kita menjangkan angka ini akan terus meningkat kerana tinjauan mendapati masih ramai yang belum berpindah.


“Kebanyakan yang terlibat adalah di tebing dan laluan air Sungai Nerus yang meningkat mendadak walaupun hujan telah berhenti,” ujar beliau.

Beliau juga menjelaskan, fenomena air hulu yang turun ke kuala dan bertembung pula dengan air pasang besar menyebabkan paras air naik mendadak di sepanjang Sungai Nerus.

Terdahulu, seramai 24 orang dari 5 keluarga di Kampung Baloh telah dipindahkan ke PPS Dewan Sivik Manir berikutan air dari alur sungai naik mendadak di kawasan berkenaan.


“Kita akan pantau keadaan ini dari semasa ke semasa agar kesemuanya dipindahkan jika perlu” tambah beliau lagi.

Beliau juga berharap agar semua penduduk dapat mengutamakan keselamatan dan berpindah sekiranya diarahkan oleh pihak berwajib.

Sumber: teganukita.net