MRSM Batu Tiong : Utamakan Anak Terengganu

Alias Harun.
Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 3 Disember - Setelah bertahun-tahun tergendala, akhirnya Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Tiong akan dibuka dan pengambilan pelajar baharu diharap dapat mengutamakan anak kelahiran Dungun dan negeri Terengganu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, dengan langkah tersebut ianya akan dapat meringankan beban ibu bapa yang terpaksa menghantar anak mereka ke tempat yang jauh.

"Ini sudah tentu menjimatkan kos dan jarak perjalanan. Selain itu, ibu bapa akan mudah untuk berhubung dengan anak-anak mereka jika ada perkara tidak diingini timbul," ujarnya yang ditemui di Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini baru-baru ini.

Alias bercakap demikian ketika mengulas jawapan lisan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat yang memberitahu bahawa Kerajaan Pusat melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah meluluskan sebuah MRSM baharu di Kampung Batu Tiong.

Menurut Alias, MRSM berkenaan yang terletak di Kampung Pintu Gerbang, Batu Tiong di atas tanah seluas 60 ekar sepatutnya telah beroperasi sejak dahulu.

"Tetapi ianya tertangguh namun alhamdulillah sudah ada keputusan dan dijangka mengambil pelajar seramai 750 orang bermula tahun hadapan.

"Saya mengharapkan bangunan dan kemudahan infrastruktur disiapkan sebaiknya untuk memberi keselesaan kepada pelajar yang akan memulakan sesi pembelajaran nanti," ujarnya lagi.

Sumber: teganukita.net