Turun Padang Sampaikan Sumbangan Dan Suntikan Motivasi


Oleh : Jusmawari Jusoh

BESUT, 1 Disember - Pegawai penyelaras Parlimen Besut turun ke pusat pemindahan banjir bagi menyampaikan sumbangan bantuan dan suntikan motivasi untuk mangsa yang terlibat.

Ketuanya, Ustaz Dr. Riduan Mohamad Nor berkata, sebanyak 500 kampit beras  diperuntukkan kepada mangsa banjir setiap DUN di kawasan Besut.

"Hari ini kita mensasarkan sebanyak 500 kampit beras untuk mangsa banjir untuk DUN Hulu Besut.

"Kita tidak akan terhenti disini dan akan teruskan ke setiap DUN dalam daerah Besut yang terlibat dengan banjir," jelasnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media ketika dalam misi bantuan kepada mangsa banjir di DUN Hulu Besut, disini, semalam.

Menurutnya, kawasan Besut merupakan wilayah agrarian yang sentiasa menghadapi ujian banjir saban tahun.

"Dengan lebih 183 ribu penduduk, musim banjir tak semudah kawasan bandar dan sub bandar dimana sebahagian masyarakat masih bergantung kepada bantuan kerajaan.

"DUN Hulu Besut paling ramai mangsa pemindahan, diikuti DUN Kuala Besut, Jerteh dan Kota Putera," kata Riduan.

Turut bersama ialah Jabatan Amal Negeri yang diketuai saudara Sauji Abdul Rashid, Komandan dan anggota Jabatan Amal Besut bagi melancarkan misi tersebut.

Sumber: teganukita.net