Ashari Samsudin! Tolonglah kembali...


KUALA TERENGGANU: Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu (PETEH) dan Kelab Penyokong Terengganu FC, menuntut penyerang Terengganu FC (TFC), musim lalu, Ashari Samsudin memikirkan semula hasratnya untuk bersara dalam arena bola sepak negeri.

Kelab berkenaan mengharapkan bekas pemenang Kasut Emas 2010 itu terus menyarung jersi skuad Penyu itu untuk sekurang-kurangnya dua musim lagi terutama bagi membantu pasukan dan juga pemain muda  dalam skuad itu.

Menurut 'orang kuat' dua kelab itu, bekas pemain kebangsaan berusia 35 tahun itu yang lebih mesra dipanggil Saha masih lagi berbisa untuk memburu jaringan selain berpengalaman luas dalam arena bola sepak negeri dan kebangsaan.

"Jika pemain itu meneruskan niat untuk bersara dalam arena bola sepak, saya lihat ia satu kerugian buat pasukan Terengganu khususnya, kerana pemain itu masih lagi berbisa di padang.

"Selain itu saya lihat pemain itu begitu disiplin sama ada di padang ataupun luar padang selain bakat yang ada, ia sebenarnya umpama serampang dua mata buat pasukan khususnya kepada pemain muda untuk mengikut jejaknya sebagai pemain berkaliber.

"Justeru saya harap pemain itu dan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) duduk bincang semula selain mengharapkan Ashari mempertimbangkan semula hasratnya untuk bersara kerana khidmatnya masih diperlukan pasukan," ujar Presiden PETEH, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamad Aris.

Pandangan sama turut disuarakan Presiden Kelab Penyokong TFC, Mohd Isa Che Ariffin yang menuntut pemain itu kembali menyertai latihan TFC dan jika ada masalah, ia perlu dibincang dan diselesaikan sebaik mungkin kedua-dua belah pihak.

"Saha masih lagi berbisa, dia seorang pemain yang berpengalaman luas dalam bola sepak, adakalanya pengalamannya sangat diperlukan ketika situasi-situasi tertentu sebagai seorang senior dalam padang.

"Pemain yang digelar 'The Silent Killer' itu juga sebenarnya idola kepada pemain-pemain muda yang ingin menimba ilmu dalam bidang bola sepak selain berguru dengan jurulatih.

"Saya harap Saha mempertimbang semula hasratnya untuk bersara dengan menerima tawaran daripada PBSNT dan kembali menjalani latihan bersama kem TFC demi kemajuan pasukan dan peningkatan pemain baharu dalam pasukan itu yang dahagakan tunjuk ajarnya.

"Jika ada sebarang permasalahan antara kedua-dua belah pihak, ia perlu diselesaikan dengan mencari jalan yang terbaik," ujar Isa.

Akhbar ini semalam melaporkan Ashari yang pernah membantu pasukan negara menjulang Piala Suzuki AFF pada 2010 selain meraih Piala FA 2011 bersama Terengganu, masih belum menjawab surat tawaran daripada PBSNT untuk menyarung jersi pasukan kendalian Nafuzi Zain itu.

Berikutan itu, ia mengundang persoalan buat kem TFC dan juga peminat setia skuad itu sama ada Ashari benar-benar mahu mengantung but ataupun mempunyai masalah dalaman dengan PBSNT. - Berita Harian