Jangan Panik, Tiada Jangkitan Coronavirus Di Terengganu

Coronavirus Foto Ehsan Google

KUALA TERENGGANU, 27 Januari - Orang ramai khususnya rakyat Terengganu dinasihatkan agar tidak panik dan mempercayai sebarang berita palsu berkaitan jangkitan Novel Coronavirus di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat menegaskan perkara itu selepas tersebar berita seorang kanak-kanak yang disyaki dijangkiti Coronavirus dilarikan dari Hospital Kemaman.

Sebaliknya apa yang berlaku katanya, ibu bapa kanak-kanak berkenaan tidak faham dengan apa yang dimaklumkan oleh doktor kerana masalah komunikasi bahasa lalu membawa pulang semula anaknya ke tapak ECRL dan bukannya melarikan diri.

"Tambahan pula kanak-kanak berkenaan cuma mengalami simpton Coronavirus dan masih belum disahkan positif penyakit itu sebagaimana tular di laman sosial.

"Sebarang maklumat selanjutnya akan dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Hospital Terengganu dalam masa terdekat, warga Kemaman khususnya jangan panik dan mempercayai khabar angin," tegasnya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berkata, kanak-kanak tersebut bagaimanapun sudah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini untuk dikuarantin.

"Pihak Hospital meminta bantuan Polis untuk mengesan kanak-kanak ini. Polis serta-merta mengambil tindakan bertemu dengan ibu bapa kanak-kanak ini di ECRL.

"Kemudiannya membawa kanak-kanak ini menaiki ambulans dan terus dibawa ke Hospital Besar Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu," tambah beliau.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Azimi Yunus mengesahkan seorang kanak-kanak perempuan warga China berusia lima tahun menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Bagaimanapun pemeriksaan mendapati, kanak-kanak itu tidak memenuhi kriteria sebagai pesakit disyaki Patient Under Investigation (PUI) atau pesakit Coronavirus.

Pihak hospital memberi rawatan biasa kepada kanak-kanak itu.

Kanak-kanak itu dimasukkan ke wad di hopsital berkenaan jam 6.15 petang tadi,

Terdahulu dilaporkan, kanak-kanak itu bersama ibu bapanya ke Hospital Kemaman jam 13.34 tengah hari tadi untuk mendapatkan rawatan.



Sumber: teganukita.net