Kelopak mata budak terkoyak selepas terjatuh & tersangkut pada besi penyangkut baju


Keterujaan dan kegembiraan seorang kanak-kanak perempuan bertukar menjadi tragedi apabila kelopak matanya terkoyak ketika terjatuh dan muka terhentak di rak baju di sebuah butik. 

Mangsa, Cecilia Chen, 6, nyaris buta akibat kemalangan yang tidak dijangkakan itu. 

Difahamkan, Cecilia pergi ke pusat beli-belah itu bersama dengan neneknya di Sydney, minggu lalu.

Cecelia yang telah menyambut ulangtahun kelahirannya tiga hari lebih awal, mahu membeli baju berwarna pink dan neneknya membantu mencari baju berkenaan. 

Ketika neneknya sedang mencari baju, Cecelia ternampak baju kesukaannya berwarna pink dan melompat untuk cuba mengambilnya sendiri. 


Malangnya, Cecelia hilang keseimbangan lalu terjatuh dan matanya tersangkut di besi penyangkut baju menyebabkan kelopak matanya terkuyak. 

Terkejut mengetahui kejadian itu, ibunya terus keluar dari tempat kerja dan bergegas ke hospital.

Selepas menjalani pembedahan selama empat jam, doktor berjaya menjahit semula kelopak matanya tetapi ibunya berkata, anaknya tidak akan kelihatan sama seperti sebelum ini. 


Menceritakan semula kejadian itu, ibu mangsa, Jill Huang berkata, "Cecilia ternampak baju pink yang digantungkan di rak tinggi dan cuba mengambilnya sendiri. Oleh kerana terlalu tinggi, dia hilang keseimbangan dan terjatuh dengan matanya tersangkut di besi penyangkut baju. 

"Sebelum itu, semuanya dalam keadaan happy dan tiba-tiba jadi begini. Neneknya tak dapat halang kejadian itu daripada berlaku. 

"Mujur matanya tidak terjejas tetapi deria penglihatan mata kanannya akan mengambil masa lama untuk pulih semula. Kelopak mata kananya akan kelihatan rendah sedikit dan wajahnya tidak akan sama lagi seperti dulu. 

"Dia sangat sedih dan ketakutan," katanya. 


Difahamkan, Huang kini sedang menggesa pihak premis itu menggunakan rak pakaian yang selamat untuk kanak-kanak. 

Sementara itu, pihak premis berkenaan juga sedang menyiasat kejadian itu dan telah berhubung dengan keluarga mangsa untuk tindakan selanjutnya. 

Tahun lalu, seorang kanak-kanak lelaki juga hampir kelihatan matanya selepas terjatuh dan kelopak matanya tersangkut pada besi penyangkut baju di sebuah premis. 


Saad Shahzad ketika itu sedang membeli-belah bersama ibu dan kakaknya di Parramatta, barat Sydney pada Mei 2019 apabila dia ternampak sehelai baju yang terjatuh di lantai dan cuba mengambilnya tanpa menyedari mukanya terhentak pada besi tersebut. 

Ibunya yang melihat kejadian itu menjerit ketakutan dan cuba menarik kepala anaknya dari besi tersebut. 

Sumber: Daily Mail


Sumber : thereporter.my