Kerajaan Negeri Seru Komuniti Bersama-sama Bangun Pelancongan Terengganu

Monumen Batu Penyu yang perlukan proses pembaikan.

DUNGUN, 19 Januari- Kerajaan negeri meletakkan kepercayaan kepada komuniti setempat untuk bersama-sama membangunkan produk pelancongan Terengganu ke aras lebih tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, komuniti setempat merupakan entiti yang paling dekat dengan produk pelancongan Terengganu dan wajarlah dijadikan 'rakan kongsi' dalam mempromosikan kawasan mereka.

"Pada saya, komuniti paling bawah iaitu Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan penduduk kampung lebih dekat untuk menjaga kawasan mereka yang mana akhirnya mereka akan mendapat hasil daripada produk itu.

Ariffin Deraman.

"Isu utama kita adalah bagaimana nak menguruskan kawasan pelancongan yang ada.

Pihak majlis dan kerajaan negeri boleh sediakan kemudahan dan infrastruktur, tetapi ada kekangan untuk menguruskannya dari segi tenaga kerja dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), sewaktu meninjau beberapa lokasi pelancongan di daerah Dungun, baru-baru ini.

Turut serta, Pengarah  Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) Terengganu, Zanariah Zakaria dan Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Dungun, Aisyah Abu Bakar.

YDP Majlis Perbandaran Dungun, Lizan Che Mat dan pegawai daerah, Anuar Awang membawa Ariffin meninjau Batu Penyu.

Dalam lawatan tersebut, Ariffin turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM20,000 bagi memulihkan kawasan Bukit Penyu yang memiliki tarikan lagenda Batu Penyu.

"Selaras apa yang kita rancang, pejabat daerah dan pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang akan berkerjasama melaksanakan pemulihan dan pembaikan secara komuniti.

"Kita juga mencadangkan pembinaan 'broadwalk' merentasi Teluk Gadong dengan jumlah kos sekitar RM1.3 juta melalui kerajaan Persekutuan," jelasnya.

Beliau bagaimanapun, turut memperuntukkan RM20,000 untuk membaik pulih taman permainan di kawasan berkenaan serta mencari alternatif pembangunan jangka masa pendek untuk tarik orang ramai ke sana.

Ariffin melihat lokasi dan pelan perancangan pembangunan semula Teluk Gadong

Menurutnya, lawatan itu memperlihatkan potensi Dungun untuk membangun sebagai salah satu lokasi pelancongan terbaik negeri.

"Di sini, kita ada Pulau Tenggol yang dikatakan antara pulau terbaik di Malaysia dan dunia.

"Projek pemuliharaan muara Sungai Paka juga sebenarnya sangat cantik untuk pembangunan Dungun dan Paka sendiri," katanya.

Beliau menjelaskan, apabila selesai projek itu, kawasan seluas 40 hektar boleh dibangunkan pusat pelancongan.

"Ini kerana, benteng pemecah ombak ini akan mewujudkan tempat yang sesuai untuk beriadah dan selamat mandi laut yang mana faktor ini akan dikaji lagi oleh JPS selepas ini," katanya.


Projek Pemuliharaan Muara Sungai Paka dalam proses dan dijangka siap tahun hadapan.





Sumber: teganukita.net