Keringnya Tasik Tabari Tanda Hampirnya Kiamat

Posted on Tuesday, January 21, 2020 | 1/21/2020



SOALAN:
Apakah benar di akhir zaman Tasik Tabari akan kering akibat diminum oleh Ya’juj dan Ma’juj?

JAWAPAN:
Sebelum kami menceritakan tentang perihal keringnya Tasik Tabari di akhir zaman dari sudut kesahihannya dengan berpandukan kepada nas-nas sama ada daripada al-Quran ataupun hadith Nabi SAW, alangkah baiknya jika kita mengetahui akan kedudukannya terlebih dahulu berdasarkan maklumat yang terdapat di dalam Wikipedia.

Laut Galilee, juga Tasik Gennesaret, Tasik Kinneret, Laut Tiberias atau Tasik Tiberias (Bahasa Ibrani: ים כנרת‎, Bahasa Arab: بحيرة طبرية‎) terletak berdekatan dengan Bukit Golan. Ia merupakan tasik air tawar terbesar di Timur Tengah dan memiliki ukur lilit sepanjang kira-kira 53 km (33 batu) kira-kira 21km (13 batu) panjang dan 13km (8 batu) lebar. Tasik ini memiliki keluasan sebanyak 166km² dan kedalaman maksima kira-kira 43 meter (141 kaki). Pada kedalaman 209 meter di bawah paras laut, ia merupakan tasik air tawar terendah di bumi dan tasik kedua terendah di dunia (selepas Laut Mati iaitu sebuah tasik air masin).

Kinneret adalah terletak jauh di dalam Lurah Gelinciran Besar Jordan, sebuah lembah yang disebabkan oleh pemisahan plat-plat Afrika dan Plat Arab dan punca airnya sebahagian datang daripada mata air bawah tanah meskipun begitu punca utamanya adalah daripada Sungai Jordan yang mana mengalir melaluinya dari utara ke selatan. Keadaan ini bergantung kepada gempa bumi dan pada masa lalu oleh aktiviti gunung berapi. Ini dapat dibuktikan dengan penemuan banyak basalt dan batu igneus lain yang mentaksifkan geologi kawasan Galilee.
[Lihat: https://ms.wikipedia.org/wiki/Laut_Galilee]

Berdasarkan soalan di atas, kami akan menyertakan sebahagian teks hadith yang menceritakan perihal keadaan tersebut sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam hadith yang panjang.

Daripada al-Nawwas bin Sam’an R.A, bahawa Nabi SAW telah bersabda:

وَيَبْعَثُ اللهُ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ، وَهُمْ مِنْ كُلِّ حَدَبٍ يَنْسِلُونَ، فَيَمُرُّ أَوَائِلُهُمْ عَلَى بُحَيْرَةِ طَبَرِيَّةَ فَيَشْرَبُونَ مَا فِيهَا، وَيَمُرُّ آخِرُهُمْ فَيَقُولُونَ: لَقَدْ كَانَ بِهَذِهِ مَرَّةً مَاءٌ
“Allah SWT akan mengutuskan Ya’juj dan Ma’juj dan mereka akan datang dari segala penjuru dengan begitu cepat. Mereka akan melalui Tasik Tabari dan akan meminum apa yang ada di dalamnya (sehingga kering) sehinggakan yang terakhir daripada kalangan mereka berkata: “Tadi ada air di tasik ini.” [Riwayat Muslim (2937)]

Imam Mulla Ali al-Qari ketika mensyarahkan hadith mengatakan bahawa Ya’juj dan Ma’juj akan meminum air daripada Tasik Tabari ini sehingga yang terakhir atau salah seorang daripada mereka akan berkata bahawa dahulunya tasik atau tempat ini mempunyai air yang banyak. [Lihat: Mirqah al-Mafatih, 8/3463]

Di samping itu juga, Imam al-Qurtubi ada menyebutkan di dalam kitabnya bahawa Ya’juj dan Ma’juj ini akan meminum air daripada Tasik Tabari ini. [Lihat: al-Tazkirah, 779]

Justeru, di dalam hadith jelas menyatakan bahawa air di Tasik Tabari akan kering akibat diminum oleh Ya’juj dan Ma’juj apabila mereka muncul di akhir zaman nanti dan ini juga menunjukkan bilangan Ya’juj dan Ma’juj begitu ramai disebabkan itu al-Quran dan Nabi SAW menyatakan bahawa mereka iaitu Ya’juj dan Ma’juj akan keluar dengan meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi.

Firman Allah SWT:

حَتَّىٰ إِذَا فُتِحَتْ يَأْجُوجُ وَمَأْجُوجُ وَهُم مِّن كُلِّ حَدَبٍ يَنسِلُونَ
“(Demikianlah keadaan mereka) sehingga apabila terbuka tembok yang menyekat Ya’juj dan Ma’juj, mereka akan meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi.”

Penutup

Kesimpulannya, hadith yang menyatakan berkaitan Tasik Tabari akan kering adalah hadith yang sahih kerana ia diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya. Di samping itu, peristiwa ini akan berlaku di akhir zaman apabila munculnya Ya’juj dan Ma’juj yang mana keluarnya mereka ini termasuk di dalam tanda-tanda besar Kiamat. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara kita semua daripada fitnah yang zahir dan batin serta memasukkan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman. Amin.

Wallahua’alam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 1/21/2020

0 comments:

Loading...