Kerjasama Bandar Berkembar KT – Dingzhou Akan Beri Pulangan Besar


KUALA TERENGGANU, 8 Januari -  Pelbagai peluang boleh dimanfaatkan sekiranya program kerjasama bandar berkembar di antara Kuala Terengganu dan bandar Dingzhou, Wilayah Hebei, China dilaksanakan.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, antaranya adalah sektor ekonomi dan perdagangan antara dua buah negeri itu.

“Hari ini kita ada menerima satu lawatan daripada Timbalan Datuk Bandar Dinghzou, Zhang Bao Sheng dari Wilayah Hebei ke Terengganu.

“Hasrat mereka adalah untuk mengadakan satu kerjasama dalam bentuk bandar berkembar antara bandar Dinghzou dengan bandar Kuala Terengganu,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas majlis tersebut di Wisma Darul Iman, pada hari ini.

Menurutnya, deligasi tersebut mengadakan kunjungan hormat ke negeri Terengganu bertujuan untuk mengembangkan hubungan, menggalakkan kemakmuran dan pembangunan kedua-dua bandar itu.

“Kunjungan hormat ke Pejabat Speaker dan taklimat daripada pihak Unit Perancang Ekonomi (UPEN) adalah salah satu daripada slot program mereka dan turut dibantu oleh Dewan Perniagaan Cina Terengganu.

“Untuk maklumat lebih lanjut mereka perlu dapatkan daripada pihak eksekutif maksudnya daripada UPEN dan apa-apa perkara yang melibatkan komitmen akan diputuskan oleh Menteri Besar (MB) dan Exco yang berkenaan,” jelas beliau.




Sumber: teganukita.net