RM18,000 Zakat Diagihkan Kepada Pelajar Madrasah



Tiga orang pelajar menunjukkan zakat yang diterima.


Oleh : Akid Hafriz

KUALA TERENGGANU, 9 Januari – Sebanyak RM18,000 bantuan zakat telah diagihkan kepada 90 orang pelajar Madrasah Darul ‘Ulum dalam Majlis i-Asnaf yang diadakan di Dewan Kompleks Ibu Tunggal Chendering, hari ini.

Jumlah berkenaan merupakan zakat daripada kakitangan Petronas yang sebahagiannya dipulangkan oleh Pusat Pungutan Zakat (PPZ) dan pihak Petronas mengambil inisiatif untuk mengagihkannya kepada Sekolah Agama Rakyat dan golongan-golongan yang memerlukan di seluruh negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi merakamkan rasa terima kasih dan tahniah kepada pihak Petronas atas sumbangan tersebut.
Muhammad Khalil.

“Sesungguhnya pelaburan dan saham yang paling besar dan perlu ditekankan adalah pelaburan dan saham untuk membina generasi pada masa yang akan datang”.

"Mudah-mudahan, dengan sumbangan sebegini Allah SWT memelihara dan sentiasa memberikan rahmat kepada kehidupan kita di dunia dan akhirat,” katanya ketika merasmikan majlis penyampaian zakat tersebut.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Koordinator Pegawai Agama Pantai Timur, Mohd Sabli Shamsudddin dan Ahli Lembaga Pengarah Madrasah Darul ‘Ulum.

Dalam pada itu, Pegawai Agama Kerteh Integrated Petrochemical Complex (KIPC), Mohd Aidil Adha Tahir yang turut hadir menyatakan bahawa agihan tersebut merupakan sebahagian daripada jumlah keseluruhan zakat bernilai RM3.7 juta yang akan diagihkan ke seluruh negara termasuklah di Sabah dan Sarawak yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Khalil sempat beramah mesra bersama para pelajar madrasah.





Sumber: teganukita.net