Solat Hajat Hindar Coronavirus


Oleh: Ahmad Ezani Razali

KEMAMAN, 28 Januari -  Seruan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri kepada seluruh qariah masjid di Terengganu supaya mengadakan solat hajat selepas solat Maghrib di seluruh negeri bagi memohon pertolongan Allah S.W.T agar dijauhi dari dijangkiti wabak Novel Coronavirus (2019-nCoV) disambut baik oleh majoriti rakyat di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat turut hadir menunaikan solat Isyak berjemaah dan solat hajat di Masjid Jamek Chukai di sini kelmarin.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua jemaah yang hadir.

"Di kesempatan ini, saya ingin mengambil peluang untuk mengingatkan kita semua agar tidak panik dengan isu virus ini.

"Saya juga mengharapkan kita tidak cepat mempercayai sebarang maklumat yang tidak pasti kesahihannya. Kita perlu mendapatkan maklumat yang sahih daripada sumber yang boleh dipercayai.

"Ia penting bagi mengelakkan kegusaran di hati rakyat apabila menerima maklumat yang salah yang disebarkan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab," ujarnya.

Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai turut mengingatkan, semua pihak perlu menjaga kesihatan dan kebersihan diri.

"Jika anda demam, batuk, selsema dan sebagainya segeralah merujuk kepada doktor yang bertauliah di hospital berdekatan," katanya lagi.

Sumber: teganukita.net