Status Perkahwinan Yang Dianggap Olok-Olok

Posted on Wednesday, January 15, 2020 | 1/15/2020



SOALAN:
Saya nak tanya adakah sah pernikahan seseorang yang menggunakan nama kad pengenalan orang lain. Sebagai contoh perempuan A membeli kad pengenalan perempuan B kerana perempuan A tiada kad pengenalan. Perempuan B masih hidup dan dinikahkan oleh wali bapa perempuan B (buat secara olok-olok sahaja dihadapan orang ramai untuk menutup malu kerana tidak mahu diketahui orang perempuan tiada kad pengenalan). Seterusnya perempuan A melaksanakan akad nikah kali kedua secara tertutup yang berwalikan bapa perempuan A sendiri. Oleh itu, saya nak tanya adakah sah pernikahan perempuan B yang berwalikan bapa dia sendiri dan perempuan itu tahu. Dan adakah lelaki itu mempunyai dua isteri, perempuan A dan B?

JAWAPAN:
Sebagai mukadimah, kami kemukakan dalil pensyariatan nikah, firman Allah SWT:

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ
“…maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan daripada perempuan-perempuan (lain)…” (Surah Al-Nisa’: 3)

Berdasarkan ayat ini, Allah SWT telah mensyariatkan keharusan pernikahan untuk seluruh umat Islam bahkan menggalakkannya. [Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab: 16/125]

Pernikahan sememangnya dianjurkan dalam Islam dengan syarat mestilah berlandaskan kepada syariat yang telah ditetapkan. Pernikahan yang sah dan sempurna adalah pernikahan yang memenuhi rukun-rukun serta syarat-syaratnya. Setiap rukun terdapat syarat-syaratnya:

Rukun Nikah:

  • Suami.
  • Isteri.
  • Wali.
  • Dua orang saksi.
  • Lafaz ijab dan qabul (sighah).

Perkara yang perlu diteliti untuk menjadikan pernikahan itu sah iaitu syarat-syarat pada setiap rukun nikah. Namun disini, kami fokuskan pada syarat-syarat bakal suami dan bakal isteri seperti berikut:

Syarat bakal suami:

  • Dia bukan mahram kepada bakal isteri.
  • Bakal suami ialah seorang yang telah ditentukan (tidak sah wali tidak menyebut nama bakal suami).
  • Bakal suami tidak berada di dalam keadaan ihram haji atau umrah.

Syarat bakal isteri:

  • Bukan mahram bakal suami mahupun tunangan orang.
  • Bakal isteri seorang yang telah ditentukan ( tidak sah akad tanpa menentukan anak yang mana satu untuk dinikahkan oleh wali).
  • Bakal isteri tidak berada di dalam keadaan ihram haji atau umrah.
[Fiqh Manhaji (365)]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami akan merungkaikan persoalan terhadap situasi “niat” pengantin lelaki yang ingin bernikah dengan perempuan A tetapi melafazkan akad seperti nama “calon isteri yang ditentukan” dalam kad pengenalan perempuan B.

Berkenaan niat akad nikah, ianya perlu merujuk kepada lafaz ijab dan qabul (sighah) sama ada jelas (sarih) atau kiasan (kinayah). Lafaz akad nikah yang jelas yang disepakati para fuqaha ialah: “Aku nikah dikau” dan “Aku terima nikahnya”. Adapun lafaz kiasan (kinayah) tidak sah seperti “Aku hadiahkan anak aku” kerana boleh membawa kepada maksud selain nikah dan keperluan kepada niat disebabkan saksi tidak memahami apa yang diniatkan pada hati melainkan ditentukan niatnya. [Rujuk: Iqna’, al-Khatib al-Sharbini (245), Fiqh Manhaji (362)]

Menurut mazhab Hanafi dan Maliki lafaz akad nikah yang disyaratkan niat ialah pada lafaz-lafaz akad nikah seperti pemberian, sedekah dan hadiah yang menunjukkan pemilikan. Sementara, mazhab Syafie dan Hanbali tiada lafaz akad melainkan dengan lafaz akad nikah yang jelas dan tidak sah akad selain daripadanya. Hal ini kerana lafaz akad “nikah” mengiktiraf padanya “niat” bersama lafaz yang khusus. [Rujuk: Fiqh Islami wa Adillah, (38-39)]

Oleh yang demikian, lafaz akad yang jelas (sarih) sudah terikat dengan niat.

Seterusnya, situasi perempuan A tiada kad pengenalan, kemudian membeli kad pengenalan daripada perempuan B yang masih hidup, adakah sah pernikahan perempuan B yang berwalikan bapa dia sendiri disamping pengetahuan perempuan B? Isunya disini ialah bakal isteri yang telah ditentukan seperti yang termaktub dalam kad pengenalan perempuan B. Tambahan pula, wali perempuan B sebagai wali mujbir turut mempunyai hak untuk menikahkan anak perempuannya (perempuan B). Bahkan perempuan B tersebut turut mengetahui akan dinikahkan. Walaupun pernikahan tersebut atas dasar majlis perkahwinan perempuan A, namun pada hakikatnya lafaz akad nikah telah ditentukan kepada perempuan B seperti nama yang termaktub dalam kad pengenalan. Hal tersebut memenuhi syarat sah bakal isteri iaitu telah ditentukan disamping niat nikah terzahir pada lafaz akad yang jelas. Oleh itu, perkahwinan yang dianggap olok-olok tersebut sah disisi syarak. Bab perkahwinan perkara yang tidak boleh dibuat main-main. Hal ini bersandarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahwasanya Nabi SAW bersabda:

ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ
“Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh, iaitu nikah, cerai, rujuk semula (selepas talak).” [Riwayat Abu Daud (2194)]

Sehubungan itu, sebagai umat Islam perlu sedar dan tahu batas-batas bagi setiap sesuatu itu ada hadnya. Hal ini tidak semua perkara boleh dibuat main-main ataupun olok-olok terutamanya bab nikah, cerai dan rujuk.

Kesimpulan

Tuntasnya, setelah meneliti syarat-syarat sah nikah serta situasi perkahwinan yang dikatakan olok-olok tersebut. Kami berpendapatan pernikahan tersebut memenuhi syarat sah akad nikah iaitu menepati syarat sah bakal isteri iaitu jelas bakal isteri (perempuan B) telah ditentukan seperti yang termaktub dalam kad pengenalan selain niat nikah pengantin lelaki dan wali akan terzahir pada lafaz akad ijab dan qabul. Maka, akad nikah ijab dan qabul akan dilafazkan seperti nama pengantin perempuan yang termaktub dalam kad pengenalan. Bahkan perempuan B tersebut masih hidup serta turut mengetahui akan dinikahkan oleh wali mujbirnya. Implikasinya, majlis perkahwinan kali pertama yang dianggap olok-olok tersebut sah kerana menepati syarat sah perkahwinan. Akhir kalam, semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami agama. Amin

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 1/15/2020

0 comments:

Loading...